PRN Johor: Maszlee Malik tidak sabar berkhidmat bagi penduduk Puteri Wangsa

PRN Johor: Maszlee Malik tidak sabar berkhidmat bagi penduduk Puteri Wangsa

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: “Saya berasa terharu dengan mandat diberikan oleh rakyat, saya menghormati keputusan mereka,” kata bekas menteri pendidikan yang berjaya merampas kerusi DUN Puteri Wangsa daripada MUDA di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, semalam.

Beliau yang calon ‘heavyweight’ Pakatan Harapan berkata, kemenangan itu suatu yang tidak ternilai daripada Yang Maha Esa.

Menurutnya, malah kemenangan itu juga cabaran baharu baginya untuk menggalas tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

“Apa yang penting sekarang adalah usaha menunaikan tanggungjawab dan bekerja seperti mana saya menjanjikan kepada mereka.

“Beberapa perkara saya rasa perlu tunaikan,” katanya ketika ditemukan di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Dato’ Onn di sini, hari ini.

Mengulas berkaitan bakal menghadapi cabaran di sidang DUN negeri berkata, beliau berasakan cabaran yang lebih besar adalah berkhidmat kepada rakyat.

“Saya berasakan cabaran yang lebih besar berbanding sidang DUN adalah berkhidmat kepada rakyat kerana sebagai kapasiti wakil yang bukan kerajaan di negeri.

“Tetapi kekuatan yang saya ada adalah hubungan langsung dengan kerajaan pusat dan agensi-agensi kerajaan pusat.

“Saya akan melakukan yang baik mungkin untuk penduduk DUN Puteri Wangsa, we live to fight another day,” katanya.

Maszlee menang dengan majoriti 5,744 selepas meraih 41,821 undi, mendahului calon Barisan Nasional (BN), Teow Chia Ling yang mendapat 36,077 undi .

Manakala calon MUDA, Rashifa AlJunied meraih 5,887 undi, calon Bersama, Nicholas Paul Vincent (2,332) serta calon bebas, Wang Wee Siong (227).

Peratus pengundian di kerusi berkenaan adalah 68 peratus serta menyaksikan undi rosak sebanyak 612.

Sebanyak 90 kertas undi juga tidak dikembalikan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top