Kansas City: Julian Alvarez menegaskan Argentina tahu bagaimana untuk mengharungi saat-saat sukar selepas juara bertahan itu sekali lagi melepasi ujian getir apabila menewaskan Switzerland 3-1 selepas masa tambahan dalam aksi suku akhir Piala Dunia, hari ini.
Penyerang Atletico Madrid itu muncul wira Argentina apabila menjaringkan gol kedua pasukannya pada minit ke-112 di Kansas City untuk memecahkan kebuntuan selepas Switzerland bertahan dengan penuh disiplin.
Pasukan Eropah itu memperagakan aksi bertahan yang kental meskipun terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Breel Embolo dibuang padang pada separuh masa kedua akibat menerima kad kuning kedua kerana simulasi.
Namun, Alvarez akhirnya mematahkan semangat Switzerland menerusi rembatan lencong menakjubkan ke penjuru atas gawang sebelum Lautaro Martinez melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada penghujung perlawanan.
Kemenangan itu menyusuli dua lagi perlawanan mencabar Argentina dalam kejohanan ini, termasuk menewaskan Cape Verde 3-2 selepas masa tambahan pada pusingan 32 terbaik serta kebangkitan dramatik untuk menundukkan Mesir 3-2 pada pusingan 16 terbaik.
“Sudah tentu anda perlu menderita dan tahu bagaimana untuk menghadapi kesukaran. Itulah yang berlaku dalam perlawanan-perlawanan kami ketika ini,” kata Alvarez selepas memenangi anugerah Pemain Terbaik Perlawanan menerusi gol pertamanya dalam kejohanan ini.
“Pasukan yang kami hadapi bermain dengan sangat baik. Kami juga masih ada perkara yang boleh diperbaiki tetapi dalam Piala Dunia, situasinya memang begini kerana semua pasukan sangat kuat.”
Pemain berusia 26 tahun itu turut meluahkan kebanggaan selepas Argentina mara ke separuh akhir ketika memburu kejuaraan Piala Dunia berturut-turut.
Pasukan kendalian Lionel Scaloni itu akan berdepan England di Atlanta awal pagi Khamis ini, dengan pemenang bakal menentang sama ada Perancis atau Sepanyol di pentas final.
“Kami tahu England memiliki ramai pemain hebat. Mereka adalah pasukan kebangsaan yang sangat kuat dan sedang bermain dengan baik.
“Tetapi bagi kami sekarang, perkara paling penting ialah mendapatkan semula tenaga dan pulih sepenuhnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




