Ketinggian dan bakat jadi kelebihan

Ketinggian dan bakat jadi kelebihan

Dalam industri hiburan Hollywood, penampilan fizikal sering menjadi antara faktor yang mendorong seseorang pelakon itu meraih perhatian dan populariti dalam kalangan peminat.

Selain bakat dan karisma, memiliki ketinggian luar biasa turut memberikan kelebihan tersendiri, khususnya dalam membawakan watak-watak yang memerlukan kehadiran yang dominan di layar perak.

Kelebihan itu secara tidak langsung membuktikan beberapa selebriti Hollywood ini bukan sahaja dikenali kerana kejayaan dalam kerjaya, malah kerana memiliki sosok tubuh yang jauh lebih tinggi daripada kebiasaan.

Berikut lima bintang Hollywood yang membuktikan ketinggian menjadi antara keunikan yang melengkapkan persona mereka dalam industri hiburan:-

Elizabeth Debicki

Aktres jelita, Elizabeth Debicki memiliki ketinggian 190 cm sekali gus menjadikannya antara pelakon wanita tertinggi dalam industri hiburan Hollywood.
Elizabeth mula meraih populariti menerusi lakonannya dalam The Great Gatsby sebelum membintangi beberapa karya berprofil tinggi seperti Tenet dan Guardians of the Galaxy Vol. 2.
Susulan itu, dia turut menerima pujian luar biasa selepas menjayakan watak Princess Diana dalam The Crown, yang mengukuhkan lagi reputasinya sebagai antara pelakon berbakat di Hollywood.

Dwayne Johnson

Dwayne Johnson atau lebih dikenali sebagai The Rock antara bintang Hollywood paling berjaya dengan ketinggian 196 sentimeter (cm). Sebelum mencipta nama sebagai pelakon, Dwayne terlebih dahulu menempa populariti sebagai ahli gusti profesional di WWE.
Sosok tubuh yang tinggi dan tegap menjadi antara kelebihan yang membantu aktor itu membawakan pelbagai watak aksi di layar perak.
Selepas beralih ke dunia lakonan, The Rock terus mengukuhkan kedudukannya menerusi filem-filem pecah panggung seperti Jumanji: Welcome to the Jungle, Fast & Furious Presents: Hobbs & Shaw dan Black Adam.
Setelah kejayaan demi kejayaan diraih, bakat dan keunikan itu menjadikannya antara pelakon dengan bayaran tertinggi di Hollywood, selain berjaya membina empayar perniagaan sendiri.

Gwendoline Christie

Memiliki ketinggian 191 cm, Gwendoline Christie juga merupakan antara pelakon wanita tertinggi di Hollywood kerana mempunyai fizikal yang tinggi dan penampilannya yang berkarisma.
Nama Gwendoline mula mendapat perhatian antarabangsa menerusi watak Brienne of Tarth dalam Game of Thrones. Kejayaan tersebut membuka peluang untuknya membintangi francais terkenal seperti Star Wars: The Force Awakens dan Wednesday.
Sepanjang kerjayanya, dia sering menerima pujian atas keberaniannya membawa watak-watak mencabar, sekali gus membuktikan bahawa penampilan luar biasa mampu menjadi identiti tersendiri dalam dunia perfileman Hollywood.

Vince Vaughn

Vince Vaughn antara pelakon Hollywood yang memiliki ketinggian luar biasa iaitu 196 cm. Itu menjadikannya mudah dikenali, selain memberi kelebihan untuk membawakan pelbagai watak, khususnya dalam filem komedi dan drama.
Vince mula mencipta nama dalam industri pada penghujung 1990-an sebelum mengukuhkan popularitinya menerusi filem seperti Wedding Crashers, DodgeBall: A True Underdog Story dan The Break-Up. Gaya lakonannya bersahaja dan mampu menghidupkan watak komedi menjadikan dia antara pelakon yang mempunyai identiti tersendiri di Hollywood.

Jason Momoa

Memiliki ketinggian sekitar 193cm, Jason Momoa antara pelakon Hollywood yang memiliki fizikal paling mengagumkan kerana mempunyai sosok tubuh yang tinggi, berotot dan berimej lasak.
Kelebihan itu menjadikan Jason pilihan ideal untuk membawakan watak-watak aksi, sekali gus mencipta identiti tersendiri dalam industri perfileman.
Nama Jason mula meraih perhatian dunia menerusi watak Khal Drogo dalam Game of Thrones. Kemudian, popularitinya terus melonjak apabila membintangi watak adiwira dalam Aquaman.

Scroll to Top