Stacy diiktiraf Ikon Artis Sabah

Stacy diiktiraf Ikon Artis Sabah

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi, Stacy Anam menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga selepas menerima penghargaan Ikon Artis pada acara Anugerah Gemilang Maju Jaya 2026 anjuran Sekretariat Sabah Maju Jaya yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antara Sabah (SICC), malam tadi.

Stacy atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam meluahkan rasa sebak kerana usaha kerasnya selama ini mendapat pengiktirafan daripada negeri kelahirannya sendiri.

“Saya tidak menyangka akan mendapat penghargaan seperti ini. Sepanjang pembabitan saya, apa yang saya lakukan dalam bidang muzik dan kerjaya ini semuanya adalah untuk menimba ilmu. Saya melakukannya sambil belajar untuk diri sendiri.

“Jadi, saya tidak menyangka pula selepas hampir 18 tahun dalam industri ini, saya mendapat pengiktirafan daripada Sabah sendiri. Saya berasa sangat terharu,” katanya kepada Harian Metro.

Baginya, pengiktirafan ini adalah satu penghormatan tertinggi daripada insan-insan hebat di Sabah yang sentiasa menyokong kerjaya seninya sejak awal pembabitan selain membakar semangat untuknya terus melangkah lebih jauh serta memperkasakan lagi kualiti seni yang sudah dijalani selama ini.

“Rasanya seperti masih bermimpi. Saya tidak tahu bagaimana mahu gambarkannya dengan kata-kata. Namun yang pastinya, saya mendapat satu semangat baharu.

“Semangat baharu yang membuatkan saya rasa saya perlu lebih bersemangat selepas ini. Bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi untuk lebih menyumbang kepada industri selepas ini,” katanya.

Penyanyi lagu Aku Stacy ini juga kini merancang membuka ruang atau tempat khas buat anak-anak seni Sabah untuk berkembang dalam arena ini.

“Dengan pengalaman yang ada serta sedikit sebanyak ilmu yang saya timba sepanjang 18 tahun berada dalam industri ini, saya dapat bawa pulang untuk membantu mereka. Saya mahu mereka lebih faham supaya perjalanan mereka selepas ini menjadi lebih mudah.

“Namun sebenarnya, perkara yang paling membuatkan saya berbesar hati adalah impian saya untuk membuka satu ruang atau tempat khas buat orang-orang seni di Sabah.

“Mudah-mudahan usaha ini mendapat sokongan daripada orang Sabah sendiri dan daripada semua pihak.

“Ini kerana ramai yang meminati muzik di sana, tetapi mereka sering bertanya sama ada kita mempunyai studio atau platform untuk membantu mereka,” katanya.

Terbaharu, Stacy kini dalam perancangan untuk mengeluarkan album terbaharu tidak lama lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top