Tekanan mental hampir tamatkan karier Zii Jia

Tekanan mental hampir tamatkan karier Zii Jia

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mengakui pernah melalui fasa paling sukar dalam kariernya apabila berdepan tekanan mental dan emosi sehingga terlintas di fikirannya untuk bersara daripada badminton.

Menurut Zii Jia, tekanan yang dihadapinya bukan sekadar berpunca daripada perbezaan pendapat, sebaliknya menjadi semakin serius sehingga menjejaskan kehidupan harian serta prestasinya di gelanggang.

“Namun sepanjang melalui proses itu, saya berdepan tekanan mental dan emosi yang sangat besar. Ia bukan sekadar soal perbezaan pendapat.

“Keadaan menjadi semakin sukar sehingga saya berasa takut untuk berdepan dengan situasi tertentu, takut untuk mengadakan perbualan tertentu, dan takut akan kembali terjerumus ke dalam konflik emosi yang sama.

“Sejujurnya, tempoh itu amat menyakitkan bagi saya. Saya tidak dapat memberikan tumpuan sepenuhnya ketika menjalani latihan, kehidupan saya terasa tidak lagi teratur, malah ada ketika saya benar-benar terfikir sama ada saya patut menamatkan sahaja kerjaya sebagai atlet,” katanya di Instagram miliknya.

Dalam masa sama, bekas juara Seluruh England itu tidak menyalahkan mana-mana pihak sepenuhnya terhadap apa yang berlaku, sebaliknya mengakui setiap keputusan yang diambil adalah atas pertimbangannya sendiri.

“Saya sedar bahawa pada akhirnya, banyak keputusan yang dibuat adalah keputusan saya sendiri dan saya tidak berniat untuk meletakkan segala kesalahan kepada orang lain.

“Saya juga mengakui bahawa disebabkan kepercayaan, kelemahan dan keraguan dalam diri saya, mungkin saya telah melukakan hati beberapa individu yang benar-benar mengambil berat terhadap saya.

“Perkara itu membuatkan saya berasa sangat bersalah, dan sehingga kini saya masih bergelut untuk memaafkan diri sendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top