Lelaki cedera parah muka ditanduk lembu dalam acara larian lembu

Lelaki cedera parah muka ditanduk lembu dalam acara larian lembu

MADRID: Seorang peserta dilaporkan cedera parah akibat ditanduk pada bahagian muka manakala puluhan yang lain bernasib baik kerana terselamat daripada kecederaan serius dalam acara larian lembu yang bertukar huru-hara di Pesta San Fermin, Sepanyol pada Sabtu. 

Dalam kejadian tersebut, enam ekor lembu jantan bersama beberapa ekor lembu merempuh lautan manusia yang membanjiri laluan sempit di bandar Pamplona.

Haiwan itu merempuh para peserta sehingga jatuh menyembah jalan tar, manakala insiden peserta yang tersadung pula menyebabkan rempuhan berturut-turut berlaku sepanjang larian selama dua minit setengah itu. 

Larian itu bermula dari kandang sehinggalah ke arena utama, iaitu tempat di mana matador akan membunuh lembu-lembu tersebut.

Menurut laporan Hospital Universiti Navarra, seorang pelari telah ditembus tanduk pada bahagian muka, manakala 12 individu lain memerlukan rawatan perubatan akibat pelbagai kecederaan impak rempuhan.

Seekor lembu jantan hitam dilaporkan terpisah daripada kawanan seawal larian sejauh 875 meter itu bermula, sebelum merempuh sekumpulan manusia dan mengenai tepat pada sisi muka salah seorang peserta dengan tanduknya. 

Bagaimanapun, pihak berkuasa masih belum dapat mengesahkan sama ada insiden itu merupakan detik kecederaan tandukan yang dilaporkan.

Menariknya, sebilangan besar pelari kelihatan langsung tidak menyedari kehadiran haiwan tersebut  yang berada sangat hampir di belakang mereka.

Namun, haiwan-haiwan tersebut sekadar merempuh dan menolak mereka ke tepi, berbanding bertindak menanduk. 

Acara yang berlangsung pada Sabtu itu merupakan larian pagi kelima daripada festival lapan hari yang berlangsung di utara Sepanyol itu. – AGENSI

 

Scroll to Top