'Moga Allah tetapkan hati untuk sentiasa adil, amanah, ikhlas' – Onn Hafiz

'Moga Allah tetapkan hati untuk sentiasa adil, amanah, ikhlas' – Onn Hafiz

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berdoa supaya Allah terus membimbing setiap langkahnya dan mengurniakan kebijaksanaan kepadanya dalam membuat keputusan ketika mentadbir negeri ini.

Beliau turut berdoa supaya Allah menetapkan hatinya untuk sentiasa berlaku adil, amanah dan ikhlas dalam memikul tanggungjawab yang diberikan sebagai Menteri Besar untuk penggal yang kedua ini.

“Saya sedar bahawa setiap keputusan yang akan dibuat selepas ini akan memberi kesan kepada kehidupan jutaan rakyat Johor.

“Saya juga memohon doa daripada seluruh rakyat Johor supaya Allah terus memimpin dan mempermudahkan segala urusan kami sebagai pemimpin.

“Semoga setiap amanah yang dipikul dapat dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan integriti.

“Semoga setiap keputusan yang dibuat sentiasa mendapat petunjuk dan keredaan-Nya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap itu turut menjunjung kasih ke atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi lantikan sebagai Menteri Besar.

“Menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas limpah perkenan Baginda terhadap lantikan patik sebagai Menteri Besar Johor.

“Patik juga dengan penuh takzim merafakkan sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas limpah perkenan serta kepercayaan yang diberikan kepada patik untuk terus memikul amanah sebagai Menteri Besar Johor.

“Patik akan terus melaksanakan amanah ini dengan penuh taat setia demi kemajuan negeri dan kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor di hadapan Tunku Ismail pada Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor di Balai Mengadap Istana Bukit Serene di sini, hari ini.

Pada istiadat itu, Onn Hafiz menerima surat tauliah pelantikan sebelum melafazkan sumpah menyandang jawatan Menteri Besar Johor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top