Syed Saddiq tiba di mahkamah, harap dapat keadilan

Syed Saddiq tiba di mahkamah, harap dapat keadilan

lokman.khairi@hmetro.com.my

Putrajaya: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Mahkamah Persekutuan, di sini, pada jam 8.50 pagi.

Nasib bekas Ketua ARMADA BERSATU itu sama ada kekal bebas atau diarahkan menjalani hukuman penjara atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) akan ditentukan hari ini.

Keputusan itu akan diketahui selepas kes ini ditangguhkan pada 30 Jun lalu, apabila seorang daripada tiga hakim panel terbabit mengambil cuti sakit.

Ketika ditanya harapan beliau mengenai pendengaran keputusan hari ini, Syed Saddiq berharap keadilan dapat ditegakkan untuk membersihkan nama beliau.

“Saya harapkan keadilan untuk kebenaran, bantu doakan,” katanya ringkas.

Turut mengiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Putrajaya merangkap Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Seri Abu Bakar Jais, Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah dijangka menyampaikan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq pada 9 pagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top