Kapal angkasa China tiba di asteroid 2016 HO3

Kapal angkasa China tiba di asteroid 2016 HO3

Beijing: Kapal angkasa robotik Tianwen-2 China yang ditugaskan membawa pulang sampel daripada asteroid bagi tujuan penyelidikan dilaporkan sudah tiba di sasarannya selepas menempuh perjalanan sejauh 1 bilion kilometer (km) selama lebih setahun.

Agensi angkasa lepas China memaklumkan perkembangan itu pada 6 Julai lalu sekali gus menandakan kejayaan penting dalam fasa awal misi berkenaan.

Misi yang dilancarkan pada Mei 2025 itu adalah usaha pertama China untuk mengumpul sampel daripada asteroid.

Langkah ini dilaksanakan ketika Beijing terus menyalurkan peruntukan bernilai berbilion dolar ke dalam program angkasa lepasnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pelaburan besar berkenaan bertujuan merealisasikan apa yang digelar Presiden Xi Jinping sebagai “impian angkasa” negara itu.

Kapal angkasa Tianwen-2 berjaya menghampiri asteroid berkenaan pada jarak kira-kira 20 kilometer dan memulakan penerokaan saintifik selepas menempuh perjalanan selama kira-kira 400 hari.

“Kapal angkasa ini akan menjalankan penerokaan saintifik secara lebih terperinci secara berperingkat bagi mendapatkan data mengenai morfologi, komposisi bahan dan struktur dalaman asteroid,” menurut kenyataan Pentadbiran Angkasa Negara China (CNSA).

Agensi berkenaan turut menerbitkan sekeping gambar asteroid itu iaitu sebuah bongkah batu beralur berwarna kelabu yang dinamakan “2016 HO3” dengan latar belakang ruang angkasa gelap.

Pihak CNSA memaklumkan data yang diperoleh daripada penerokaan awal itu akan menjadi asas penting bagi operasi pengumpulan sampel pada peringkat seterusnya.

Sebaik sahaja sampel berjaya dikumpulkan, Tianwen-2 dijadualkan melepaskan sebuah modul khas yang akan membawa bahan berkenaan kembali ke bumi.

Sebelum ini, misi penerokaan angkasa lepas dari Jepun dan Amerika Syarikat (AS) sudah berjaya mengumpul sampel daripada asteroid berbeza.

Bagaimanapun, pakar menyifatkan kejayaan Tianwen-2 sebagai pencapaian penting buat China dalam usaha menandingi keupayaan AS dan Eropah dalam bidang penerokaan angkasa lepas khususnya misi yang melangkaui bulan.

Asteroid ialah jasad berbatu yang mengorbit matahari dan saintis percaya sampel daripada asteroid berkenaan mungkin mengandungi petunjuk mengenai asal usul dan evolusi sistem suria.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top