mdroji@bh.com.my
Kuching: Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) merekodkan rampasan keseluruhan bernilai RM19.96 juta hasil daripada 18 siri operasi yang dijalankan di seluruh negeri, bermula 1 hingga 13 Julai lalu.
Kejayaan itu diperoleh menerusi beberapa operasi khas iaitu Op Taring Bravo, Op Taring Chiller, Op Taring Batas/Awas, Op Taring Libas dan Op Bersepadu Khazanah.
Operasi yang dijalankan di beberapa lokasi strategik itu turut membawa kepada penahanan beberapa individu membabitkan warga tempatan dan warga asing.
Komander Briged Sarawak PGA, Senior Asisten Komisioner Lim Bak Phai berkata, operasi berterusan ini adalah sebahagian daripada usaha pihak polis untuk membanteras aktiviti penyeludupan, penyelewengan barang kawalan, pembalakan haram, kes hidupan liar serta jenayah di sempadan.
“Rampasan terbesar membabitkan lebih 60 tan produk sejuk beku tanpa permit bernilai RM10.06 juta di Sibu, Miri, Bintulu, Sri Aman dan Kuching.
“Produk yang dirampas merangkumi ayam, daging babi, ikan, nuget dan sosej, selain turut menyita stor sejuk beku serta kenderaan yang digunakan untuk kegiatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam operasi berasingan di Sri Aman dan Kota Samarahan, Lim berkata, pihaknya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi dengan rampasan hampir 16,000 liter diesel.
Katanya, rampasan bernilai RM824,599 itu turut membabitkan penyitaan tangki skid, tangki simpanan dan jentera berat.
Beliau berkata, menerusi Op Taring Libas dan Op Bersepadu Khazanah pula, PGA membongkar kegiatan pembalakan tanpa permit, pemprosesan kayu secara haram serta kes berkaitan hidupan liar.
“Susulan itu, kami merampas kayu balak, kayu diproses, kayu gaharu, sarang burung walit dan pelbagai peralatan memproses,” katanya.
Bagi kawalan sempadan menerusi Op Taring Batas/Awas, pihak PGA menahan beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) serta menggagalkan cubaan menyeludup beras dan produk daging sejuk beku.
Beliau berkata, pelbagai barangan seperti telefon bimbit, motosikal dan wang tunai turut dirampas dengan nilai keseluruhan RM783,747.40.
Kesemua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada agensi penguatkuasaan berkaitan seperti KPDN, Jabatan Imigresen, Jabatan Hutan Sarawak dan pihak polis untuk siasatan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd




