Madrid: Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, dilaporkan memohon maaf kepada rakan sejawatannya dari Perancis, Sebastien Lecornu serta isteri Presiden Perancis, Brigitte Macron selepas kontroversi tercetus susulan kenyataan bekas Perdana Menteri, Mariano Rajoy yang mendakwa skuad bola sepak kebangsaan Perancis “tiada pemain Perancis”.
Rajoy daripada parti konservatif mencetuskan kemarahan di Sepanyol dan Perancis apabila menulis artikel pendapat pada Ahad yang mengandungi kenyataan berkenaan.
Media Sepanyol menyiarkan rakaman video yang memaparkan Sanchez berbual dengan Lecornu dan Brigitte Macron ketika menghadiri sambutan Hari Kebangsaan Perancis di Paris, hanya beberapa jam sebelum aksi separuh akhir Piala Dunia 2026 membabitkan Sepanyol dan Perancis di Texas.
Dalam rakaman itu, Sanchez meletakkan tangan di dada sambil menundukkan kepala sebagai tanda memohon maaf.
Lecornu dan Brigitte Macron kemudian dilihat cuba menenangkan Sanchez dengan menyentuh lengannya sebagai tanda sokongan.
Menurut media tempatan, Sanchez menggunakan kesempatan itu untuk memohon maaf atas kenyataan Rajoy yang dipercayai merujuk kepada pemain-pemain Perancis yang mempunyai keturunan atau warisan asing.
Sanchez sebelum ini turut mengutuk kenyataan berkenaan dengan menyifatkannya sebagai “bersifat xenofobia”, manakala Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF), Philippe Diallo, berkata kenyataan itu membawa unsur perkauman yang tidak boleh diterima.
Kontroversi itu tercetus ketika skuad Les Bleus sedang beraksi di Piala Dunia 2026, dengan pasukan Perancis yang dibarisi pemain daripada pelbagai latar belakang etnik sekali gus menjadi simbol kepelbagaian masyarakat negara itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




