Buenos Aires: Penyokong Argentina sanggup melakukan pelbagai ritual dan kepercayaan tradisi menjelang aksi separuh akhir Piala Dunia menentang England, termasuk membekukan nama kapten lawan, Harry Kane di dalam peti sejuk.
Amalan itu adalah sebahagian daripada tradisi ‘cabalas’, iaitu kepercayaan karut yang dipercayai mampu mempengaruhi nasib skuad kebangsaan di atas padang.
Sebagai juara bertahan yang memburu tiket ke final, penyokong Argentina terus berpegang kepada rutin yang mereka percaya membawa tuah dalam kejayaan pasukan sebelum ini.
Ramai enggan menyebut nama lawan, memakai jersi yang sama tanpa dicuci, duduk di tempat yang sama dan menikmati makanan yang sama sebelum setiap perlawanan kerana percaya sebarang perubahan boleh membawa malang.
“Saya dan rakan-rakan ada satu ritual. Kami menulis nama pemain bintang dan penjaga gol lawan pada sekeping kertas, kemudian membekukannya di dalam peti sejuk,” kata penyokong berusia 13 tahun, Ines Mutri.
“Kali ini kami akan bekukan nama Kane kerana dia penjaring terbanyak England,” katanya.
Di negara yang menganggap bola sepak hampir seperti satu agama, penyokong percaya ritual sedemikian memberi mereka rasa seolah-olah mampu mempengaruhi keputusan perlawanan yang sebenarnya di luar kawalan mereka.
Tradisi itu sudah lama berakar umbi dalam bola sepak Argentina.
Bekas jurulatih yang membawa negara itu menjuarai Piala Dunia 1986, Carlos Bilardo, terkenal dengan pelbagai pantang larang termasuk menetapkan susunan pemain melangkah masuk ke padang, sekali gus menjadikan ‘cabalas’ sebahagian daripada budaya bola sepak negara itu.
Malah, jurulatih Argentina ketika ini, Lionel Scaloni, turut mengakui mempunyai rutin tersendiri.
“Saya melangkah masuk ke padang dengan kaki kanan terlebih dahulu dan membuat tanda salib,” katanya sepanjang kejohanan ini.
Sepanjang Piala Dunia kali ini, penyokong berkongsi imej janaan kecerdasan buatan (AI) di media sosial yang memaparkan pemain lawan dibekukan di dalam bongkah ais sebagai simbolik untuk “menghalang” mereka daripada bergerak, menjaringkan gol atau melakukan penyelamatan.
Pelajar berusia 18 tahun, Juan Pablo Calvo, berkata dia juga akan membekukan nama Jude Bellingham kerana menganggap pemain tengah England itu sebagai ancaman besar.
“Dia pemain yang hebat, tetapi saya tetap yakin Argentina akan menang,” katanya.
Pertembungan kali ini menghidupkan semula antara perseteruan paling ikonik dalam bola sepak dunia, daripada gol kontroversi ‘Hand of God’ Diego Maradona pada 1986 hinggalah beberapa lagi aksi dramatik di pentas Piala Dunia.
Bagi Calvo, dia akan memakai jersi yang menyerupai jersi dipakai Maradona ketika Argentina menjulang trofi dunia pada 1986.
“Walaupun Lionel Messi sudah memenangi hampir semua kejuaraan, ini peluang yang cukup istimewa kerana dia tidak pernah menentang England dalam perlawanan sebesar ini, apatah lagi di separuh akhir Piala Dunia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




