75,000 bersatu amalkan gaya sihat di MILO® Breakfast Day 2026

75,000 bersatu amalkan gaya sihat di MILO® Breakfast Day 2026

PUTRAJAYA: Suasana di Dataran Putrajaya seawal subuh baru-baru ini bertukar meriah apabila dibanjiri kira-kira 25,000 peserta bagi menyertai kemuncak acara MILO® Malaysia Breakfast Day 2026.

Kehadiran luar biasa itu sekali gus melabuhkan tirai program berkenaan yang berjaya menghimpunkan seramai 75,000 peserta merentasi enam negeri termasuk Sabah, Terengganu, Sarawak, Pahang, Kelantan dan Putrajaya.

Program ini bukan sekadar acara larian santai, malah menjadi platform penting dalam membudayakan amalan sarapan berkhasiat serta gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat Malaysia merentasi pelbagai generasi.

Membentuk Sahsiah Melalui Sukan

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol yang hadir merasmikan acara kemuncak itu menekankan betapa pentingnya sukan dalam membentuk sahsiah dan daya tahan golongan belia.

“Inisiatif seperti MILO® Malaysia Breakfast Day memainkan peranan penting dalam menggalakkan anak muda memulakan hari dengan amalan baik serta pemakanan berkhasiat sebelum turun ke padang atau gelanggang.

“Komitmen rakyat yang hadir hari ini mencerminkan aspirasi Kerajaan untuk membina sebuah negara yang lebih sihat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Singapura dan Brunei, Juan Aranols berkata, sejak 2013, MILO® komited menerajui inisiatif ini kerana percaya sukan memainkan peranan penting dalam membentuk individu berkeyakinan dan berdaya tahan.

“Antara detik paling menyentuh hati saya hari ini adalah apabila bertemu keluarga yang berkongsi bahawa mereka akan terus kembali menyertai acara ini saban tahun.

“Tabiat sihat tidak terbina dalam sekelip mata, sebaliknya dipupuk melalui pilihan kecil yang dibuat bersama keluarga setiap hari,” katanya.

Detik manis bersama keluarga, rakan

75,000 bersatu amalkan gaya sihat di MILO® Breakfast Day 2026
Joyce Teoh, 33, dari Pulau Pinang, tampil kreatif dengan mengenakan kostum dinosaur di Hari Sarapan Malaysia MILO® 2026. – FOTO MILO®

Acara ini juga menyaksikan pelbagai gelagat menarik peserta yang menjadikan larian tersebut sebagai momen mengeratkan hubungan kekeluargaan serta persahabatan.

Antara yang mencuri tumpuan ialah Tan Li Yuet, 24, yang hadir bersama 35 ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Menyertai acara ini buat kali keempat, dia menyifatkan MILO® sebagai simbol gaya hidup sihat yang menyatukan masyarakat serta mengimbas kembali memori berlari bersama ibunya sewaktu kecil.

Kemeriahan acara turut diserikan dengan kreativiti peserta yang mengenakan kostum unik. Mayang Misnan, 41, bersama rakan-rakannya tampil ceria mengenakan kostum pari-pari untuk menyebarkan semangat positif dan keceriaan.

Tidak ketinggalan, Joyce Teoh, 33, yang sanggup datang jauh dari Pulau Pinang untuk memeriahkan suasana dengan menyarung kostum dinosaur bagi mengukir senyuman pada wajah kanak-kanak yang hadir.

Selain itu, program ini turut menjadi platform buat golongan pendidik untuk menunjukkan teladan yang baik.

Empat pendidik muda iaitu Dhama Dharishini, 28; Ronald Joseph Pillai, 27; Narveen Kaur Dhillon, 27; dan Syifa’ Adawiyah, 26, mengambil bahagian demi memberi inspirasi kepada generasi akan datang tentang kepentingan sarapan berkhasiat serta gaya hidup aktif.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top