Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli menghadiahkan sebuah helmet kepada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam satu pertemuan hari ini.
Ahmad Samsuri menyifatkan pemberian itu sebagai hadiah cukup istimewa kerana hadir daripada anak muda kelahiran Terengganu yang kini mengharumkan nama negeri dan Malaysia di pentas dunia.
“Terima kasih kepada Hakim atas hadiah sebuah helmet. Hadiah yang cukup istimewa, apatah lagi datang daripada seorang anak muda Terengganu yang sedang membawa nama negeri dan negara ke pentas dunia,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Menurut beliau, perjalanan Hakim dalam dunia permotoran bukan perkara baharu kerana beliau mengikuti perkembangan pelumba itu sejak zaman awal penglibatannya sebagai pelumba cilik.
Katanya, Hakim pernah melalui pelbagai dugaan termasuk mengalami kejatuhan dan kecederaan sebelum bangkit semula sehingga berjaya muncul juara Asia Talent Cup.
“Bukan baru semalam saya kenal Hakim Danish. Sejak dia bermula sebagai pelumba cilik lagi, jatuh, cedera, bangkit semula, kemudian menjadi juara Asia Talent Cup, kita sudah nampak ada sesuatu yang istimewa dalam dirinya,” ujarnya.
Ahmad Samsuri turut mengimbas kembali ketika beliau melawat Hakim bersama seorang lagi pelumba muda negara, Qabil Irfan, sewaktu mereka menjalani latihan di Litar Antarabangsa Sepang beberapa tahun lalu.
Dalam pertemuan tersebut, beliau meninggalkan pesanan ringkas menerusi tanda pagar #NokMenang sebagai pembakar semangat buat kedua-dua pelumba muda berkenaan.
Artikel lain: Harumkan nama Malaysia, KBS tak lepas tangan! Sentiasa beri sokongan kepada Hakim Danish
Jelasnya, pesanan itu membawa maksud lebih besar daripada sekadar kemenangan dalam perlumbaan, sebaliknya mengingatkan mereka supaya terus melawan ketakutan, keletihan dan keraguan ketika berdepan cabaran.
“Hari ini, Hakim terus membuktikan semangat itu dan sekali lagi mencipta pencapaian yang membanggakan di pentas dunia.
“Di sebalik setiap trofi, ada latihan yang panjang, pengorbanan keluarga, disiplin yang tinggi dan keberanian untuk terus bergerak walaupun jalannya tidak mudah,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Hakim Danish serta berharap pelumba muda itu terus melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
“Teruskan berlumba dan mencipta sejarah. Terengganu dan Malaysia bangga dengan Hakim Danish,” katanya.







