Projek pembangunan hospital, hotel di Taman Manggis disambung Ogos ini

Projek pembangunan hospital, hotel di Taman Manggis disambung Ogos ini

GEORGE TOWN : Projek pembangunan hospital dan hotel secara bercampur di atas lot tanah di Taman Manggis, Jalan Zainal Abidin di sini yang tertangguh sejak beberapa tahun lalu dijangka disambung semula mulai pertengahan Ogos ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek itu akan diteruskan tanpa sebarang perubahan terhadap pelan reka bentuk bangunan yang telah diluluskan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sebelum ini

“Ya, kita akan teruskan projek ini yang melibatkan pembinaan sebuah hospital dan hotel secara bercampur setinggi 21 tingkat di atas tanah seluas kira-kira 4,061 meter persegi,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Isu Taman Manggis sebelum ini menjadi polemik apabila pembangkang bertindak mempersoalkan mengapa projek pembangunan di situ belum dilaksanakan walaupun ia telah diluluskan sejak 2019 selepas lot tanah untuk projek berkenaan dipajak kepada Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC).

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) telah mengeluarkan surat rasmi kepada KLIDC pada 16 Jun lalu bagi mendapatkan perkembangan terkini projek di Lot 10011, Seksyen 16, George Town selepas tapak tersebut dibiarkan tanpa pembangunan selama beberapa tahun.

Katanya, KLIDC juga telah memperoleh kelulusan kebenaran merancang serta permit untuk memulakan kerja daripada MBPP pada 2020 dan kerja-kerja menanam cerucuk di tapak projek juga telah disiapkan pada Oktober tahun yang sama.

“Bagaimanapun, kerja-kerja pembinaan ketika itu terpaksa dihentikan berikutan terdapat pelbagai cabaran termasuk gangguan rantaian bekalan bahan binaan, kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos pembinaan serta masalah pembiayaan dan aliran tunai projek,” katanya.

Sementara itu, perunding arkitek projek, Nora Che Idris berkata, projek tersebut akan dibangunkan semula sebagai Victoria Hospital di bawah pengurusan baharu KLIDC.

Nora berkata, pihaknya telah menerima penyertaan daripada lima kontraktor selepas tender bagi kerja-kerja memasang struktur utama dibuka dan ketika ini, penilaian teknikal serta komersial sedang dilakukan sebelum lantikan kontraktor dibuat.

“Kerja-kerja pembinaan pula dijangka bermula Ogos ini dan mengambil masa selama 36 bulan sehingga Sijil Perakuan Siap serta Pematuhan (CCC) dikeluarkan sebelum projek ini dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos 2029,” katanya.-UTUSAN

 

Scroll to Top