am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Pekerja kedai buku maut selepas pokok berusia 200 tahun tumbang dan menghempapnya dalam kejadian ribut kira-kira 4.30 petang tadi.
Kejadian berlaku di Kampung Sering di sini menyebabkan Saufi Mohamad, 55, meninggal dunia di lokasi.
Menurut anaknya, Mohamad Shafiq, 23, ketika kejadian bapanya sedang menunggang motosikal dan dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja di Padang Tembak, Pengkalan Chepa.
“Saya dihubungi rakan memaklumkan kejadian menimpa ayah dan menyangka dia hanya bergurau. Saya kemudian pulang ke rumah untuk melihat sama ada ayah ada di rumah atau tidak.
“Bagaimanapun ayah tidak kelihatan dan selepas itu saya dapat berita sama daripada kumpulan WhatsApp yang disertakan sekali gambar ayah.
“Saya segera ke lokasi dan melihat jasad ayah tanpa kecederaan teruk, hanya sedikit darah sahaja kelihatan di tepi bibirnya dan kami merasakan batang pokok itu terkena belakang tengkuknya,” katanya ketika ditemui Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, di sini.
Mohamad Shafiq berkata, bapanya tidak menunjukkan perubahan ketara sebaliknya kerap membeli durian kebelakangan ini, yang disifatkannya bukan amalan biasa.
“Pagi tadi pun saya tak sempat berbual dengannya kerana saya keluar rumah jam 5 pagi untuk ke tempat kerja di kedai jual ayam, manakala ayah masih belum bangun tidur.
“Cuma malam tadi sahaja kami sempat berbual ringkas. Walaupun masih terkejut dengan kejadian ini, kami sekeluarga reda,” katanya.
Jenazah Saufi akan dikebumikan pagi esok di Tanah Perkuburan Kampung Senok, Bachok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




