Zidane dijangka berdepan tugas besar bimbing Perancis

Zidane dijangka berdepan tugas besar bimbing Perancis

Dallas: Impian generasi emas Perancis untuk mara ke final Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut berkecai selepas tewas 0-2 kepada Sepanyol pada aksi separuh akhir, sekali gus membuka lembaran baharu yang dijangka menyaksikan Zinedine Zidane mengambil alih skuad kebangsaan.

Kekalahan itu turut menjadi penamat kepada era Didier Deschamps yang akan mengakhiri tugasnya sebagai ketua jurulatih selepas aksi penentuan tempat ketiga, Ahad ini, sekali gus menutup perjalanan selama 14 tahun bersama Les Bleus.

Perancis hadir ke Dallas dengan rekod enam kemenangan berturut-turut dan keyakinan tinggi untuk kembali ke final, namun gagal menandingi kehebatan Sepanyol dari aspek teknikal serta taktikal.

Ia juga kekalahan ketiga berturut-turut Perancis kepada Sepanyol pada peringkat separuh akhir kejohanan utama selepas Euro 2024 dan Liga Negara-Negara UEFA.

Kapten Perancis, Kylian Mbappe, mengakui pasukannya gagal mempamerkan corak permainan yang dirancang, sekali gus membolehkan Sepanyol menguasai perlawanan.

“Kami tidak bermain seperti yang dirancang dari segi taktikal mahupun teknikal. Jika gagal melaksanakan apa yang sepatutnya dalam separuh akhir Piala Dunia, anda tidak akan menang,” katanya.

Rakan sepasukan, Rayan Cherki pula menyifatkan kekalahan itu berpunca daripada kelemahan sendiri, bukannya disebabkan keputusan pengadil atau kekuatan lawan semata-mata.

Deschamps mengambil alih Perancis pada 2012 ketika pasukan itu masih bergelut dengan krisis susulan kemelut Piala Dunia 2010 sebelum membawa negara itu muncul juara dunia pada 2018 dan naib juara pada edisi 2022.

Bekas kapten Perancis dan jurulatih Real Madrid, Zidane, dijangka menjadi pengganti Deschamps, walaupun pelantikannya masih belum diumumkan secara rasmi.

Dengan barisan pemain bertaraf dunia seperti Mbappe, Ousmane Dembele, Michael Olise, Desire Doue dan Bradley Barcola masih berada pada usia kemuncak, Zidane dijangka menggalas tanggungjawab besar untuk memastikan generasi berbakat itu menukar potensi besar kepada lebih banyak trofi pada Euro 2028 dan Piala Dunia 2030.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top