mukhriz.husin@bh.com.my
Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan Network School di Forest City di Johor bukanlah sebuah institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) berdaftar di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555).
KPT melalui kenyataan memaklumkan status itu sekali gus membuktikan Network School tidak diiktiraf atau dikawal selia kementerian itu.
Malah, semakan KPT juga mendapati tiada sebarang kerjasama, pengiktirafan atau penglibatan Universiti Awam (UA) mahupun IPTS berdaftar dengan Network School berdasarkan rekod yang ada pada masa ini.
“Berdasarkan maklumat diperolehi, Network School merupakan sebuah komuniti kediaman swasta dan ruang kerja bersama atau ‘co-working space’ untuk golongan usahawan teknologi, pelabur dan pengamal digital pemula atau ‘startup’.
“Pada masa sama, KPT dimaklumkan pihak berkuasa berkaitan sedang meneliti isu ini mengikut bidang kuasa masing-masing.
Isu operasi Network School menjadi perhatian selepas kerajaan negeri Johor menyuarakan kebimbangan berhubung dakwaan terdapat warga Israel menyertai program berkenaan menggunakan pasport negara kedua.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, semalam menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh terhadap operasi program berkenaan.
Susulan itu, Jabatan Imigresen menjalankan naziran terhadap komuniti antarabangsa di Forest City, dengan Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban, mengesahkan naziran itu membabitkan pemeriksaan terhadap 266 warga asing dari 40 negara.
Menurut KPT, pihaknya akan terus memantau perkembangan isu berkait Network School dan akan memberikan kerjasama penuh kepada semua agensi penguat kuasa bagi memastikan undang-undang negara dipatuhi serta kepentingan sistem pendidikan tinggi negara sentiasa terpelihara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




