PRN Negeri Sembilan: Harapan tengok KJ jadi MB belum kesampaian, nama tiada dalam senarai

PRN Negeri Sembilan: Harapan tengok KJ jadi MB belum kesampaian, nama tiada dalam senarai

SEREMBAN – Harapan penyokong Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk melihat bekas Ahli Parlimen Rembau itu kembali bertanding dalam pilihan raya, sekali gus diangkat sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan nampaknya belum kesampaian.

Ini kerana, nama beliau tiada dalam senarai calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Negeri(PRN) Negeri Sembilan yang diumumkan pada malam Rabu.

Sebelum ini, timbul spekulasi bahawa Khairy Jamaluddin akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, malah turut disebut-sebut sebagai ‘poster boy’ BN yang mampu menarik sokongan pengundi muda pada pilihan raya kali ini.

Ini kerana, sejak diterima menyertai keluarga UMNO semula pada April lalu, beliau dilihat kembali aktif dalam politik, selain turut serta berkempen dalam PRN Johor baru-baru ini.

Nama menantu kepada Perdana Menteri Ke-5 itu disebut-sebut sebagai calon paling sesuai kerana dilihat mempunyai pakej lengkap untuk ‘mengemudi’ Negeri Sembilan.

Pengalaman sebagai Menteri Belia dan Sukan dan Menteri Kesihatan semestinya memberi kelebihan kepada kepadanya.

Namun sepanjang karier politiknya, Khairy Jamaluddin tidak pernah bertanding di kerusi DUN.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU)12, 13 dan 14, beliau bertanding dan menang kerusi Parlimen Rembau.

Pada PRU15 tahun 2022, beliau telah mengosongkan kerusi tersebut bagi memberi laluan kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan berpindah bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh.

Namun tewas kepada calon Pakatan Harapan, Datuk R. Ramanan.

Khairy Jamaluddin sebelum ini mengakui lebih selesa berperanan sebagai jentera parti bagi membantu kempen PRN Negeri Sembilan berbanding menjadi calon, tetapi akan akur dengan keputusan pimpinan parti.

Daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) di Negeri Sembilan, BN hanya mempertaruhkan 25 calon iaitu (16) UMNO, (7) MCA dan (2) MIC.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias kekal bertanding di kerusi yang disandang mereka masing-masing di DUN Rantau dan DUN Pertang.

Seramai 10 lagi penyandang daripada UMNO turut diberi kepercayaan mempertahankan kerusi yang diwakili mereka.

Bagaimanapun, Datuk Ismail Lasim yang sebelum ini mewakili DUN Senaling dipindahkan bertanding di DUN Juasseh, susulan penyandangnya, Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid, tidak dicalonkan semula.

Tiga calon baharu UMNO ditampilkan iaitu Mohamad Qayyum Abd Jalil(Senaling), Siti Nur Umaira Hasim(Labu) dan S Leza Md Yasin(Pilah).

 

Scroll to Top