Jiwa kental bawa Argentina ke final

Jiwa kental bawa Argentina ke final

Atlanta: Pengendali Argentina, Lionel Scaloni memuji semangat juang luar biasa anak buahnya selepas sekali lagi bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan England 2-1 dan mara ke final Piala Dunia.

Scaloni berkata, pasukannya mula menghidu peluang kemenangan apabila England memilih untuk bertahan selepas mendahului 1-0 dalam aksi separuh akhir di Atlanta.

“Saya fikir pasukan ini mempamerkan aksi terbaik apabila berdepan kesukaran.

“Kami berada dalam situasi yang mencabar. Kami sedar kesilapan mereka dan kami terus memburu kemenangan. Itulah perasaan yang saya rasakan.

“Anda hanya perlu terus berusaha. Kami terkena palang, kami terkena tiang dan bola tetap tidak mahu masuk.

“Kami mencipta enam atau tujuh peluang, tetapi saya sangat gembira kerana pasukan terus berjuang hingga ke wisel penamat. Itu perkara paling penting,” kata Scaloni.

Ia adalah kali kedua Argentina bangkit daripada ketinggalan dalam saingan kalah mati selepas kemenangan dramatik ke atas Mesir pada pusingan 16 terbaik, yang sebelum ini disifatkan Scaloni sebagai “epik”.

Apabila ditanya bagaimana beliau menggambarkan kemenangan ke atas England, Scaloni berseloroh: “Epik… kuasa dua?”

Kemenangan itu menyaksikan juara bertahan mara ke final untuk berdepan juara Eropah, Sepanyol di New Jersey, Ahad ini.

Scaloni menegaskan kejayaan berkenaan adalah hasil usaha seluruh pasukan.

“Kumpulan ini sukar digambarkan. Ia melambangkan semangat berpasukan, persaudaraan dan keazaman untuk terus berjuang hingga ke penghujung,” katanya.

Pengendali berusia 48 tahun itu kini berpeluang menghadiahkan kejuaraan utama keempat berturut-turut buat Argentina selepas menjulang Copa America 2021, Piala Dunia 2022 dan Copa America 2024.

Beliau turut memuji ketenangan pemainnya yang tidak pernah gentar walaupun berdepan tekanan.

“Saya mengenali pemain-pemain ini. Mereka tidak takut kepada apa-apa.

“Mereka tidak merasakan beban di bahu mereka. Mereka bermain seperti kanak-kanak berusia tujuh atau lapan tahun.

“Mereka tidak memikirkan apa akan berlaku jika melakukan kesilapan atau memikirkan mengenai separuh akhir atau final. Mereka hanya menikmati permainan,” tambahnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top