SEREMBAN – Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini dengan mempertaruhkan seorang calon wanita di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang.
Perkara itu diumumkan oleh Presiden ASLI, Rashid Ka dalam satu majlis diadakan bersama Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia(MUDA) di sini pada Khamis.
Menurut beliau, penyertaan tersebut merupakan kali kedua parti itu bertanding dalam pilihan raya selepas pertama kali mencuba nasib pada PRN Johor baru-baru ini.
“Calon yang dipilih merupakan seorang ibu yang juga suri rumah dari Kampung Orang Asli Jeram Padang.
“Kita memilih calon wanita kerana dia berani tampil ke hadapan untuk menyahut cabaran parti bertanding pilihan raya di Negeri Sembilan,” katanya.
Jelas beliau, matlamat utama ASLI bertanding adalah bagi memastikan suara masyarakat Orang Asli dapat diwakili di peringkat negeri.
ARTIKEL BERKAITAN: Bersama tidak sertai PRN Negeri Sembilan, beri tumpuan kepada Melaka
Sokongan Melayu merosot di Johor, PH rombak strategi hadapi PRN Negeri Sembilan – Amirudin
‘Formula Johor’ boleh jadi resipi BN
Tambahnya, sekiranya calon daripada parti terbabit diberi mandat, mereka bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengurus tadbir.
“Kita merasakan terpanggil memandangkan rata-rata masyarakat Orang Asli berdepan isu tanah adat yang dirampas dan diceroboh dari semasa ke semasa.
“Sekiranya calon parti kami menang, saya yakin beliau mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi di Jeram Padang serta seluruh masyarakat pelbagai kaum secara adil dan saksama,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: ‘Linggi bukan kerusi selamat, itu kubu kuat BN’ – Aminuddin
DAP anggap Aminuddin panglima perang, pilih sebagai ‘poster boy’ PH
Jangan jadikan krisis institusi Diraja sebagai bahan kempen – PM
PRN Negeri Sembilan: Aminuddin tinggalkan Sikamat, bakal bertanding di Linggi
Sementara itu, Dayana Dal, 40, yang merupakan Suku Semelai berkata, tujuannya bertanding adalah untuk menempatkan diri dalam DUN kerana secara tidak langsung boleh membuka mata masyarakat luar terhadap Orang Asli.
“Saya juga mahu membawa suara-suara masyarakat Orang Asli ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, PSM mengumumkan akan bertanding di DUN Rahang dengan menampilkan setiausaha parti itu di Negeri Sembilan sebagai calon.
S Tinagaran yang berusia 49 tahun dan merupakan seorang guru tuisyen pernah bertanding di kerusi Parlimen Rembau pada tahun 2023, namun tewas dengan Timbalan Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yang menang dengan majoriti 19,897 undi.
Dalam pertembungan empat penjuru itu, beliau hanya memperoleh 779 undi.



