am@hmetro.c
Melaka: Cubaan berani suami isteri disyaki mahu menyeludup kira-kira sekilogram tembakau ke dalam Penjara Sungai Udang di sini, menggunakan dron gagal apabila sistem pesawat tanpa pemandu itu berjaya dikesan dan dipintas sistem keselamatan penjara.
Dalam kejadian jam 1.20 pagi kelmarin, dron jenis Air 2S dipercayai diterbangkan dari kawasan perumahan berhampiran sebelum memasuki ruang udara penjara dan berlegar-legar di atas bangunan bengkel kulinari bagi meninjau lokasi sesuai untuk menjatuhkan bungkusan tembakau kepada seorang banduan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Halim Abas berkata, aksi ibarat babak dalam filem itu bagaimanapun tidak terlepas daripada pengawasan apabila sistem pengesanan dron milik Jabatan Penjara Malaysia mengesan pencerobohan itu serta merekodkan laluan penerbangan, lokasi pengendali, jenis dron dan tempoh operasinya.
Menurutnya, susulan pengesanan itu sepasukan anggota polis dari Cawangan D4, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menyerbu sebuah rumah sewa di Taman Keris Satria sebelum menahan pasangan suami isteri yang disyaki terbabit.
Katanya, dalam serbuan itu polis merampas dua kotak mengandungi set dron bersama peralatan gantian, dua bungkusan tembakau, alat penimbang serta empat telefon bimbit dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
“Siasatan awal mendapati suspek lelaki mengaku menerbangkan dron ke kawasan penjara dari rumah sewa berkenaan bagi meninjau lokasi sebelum menghantar tembakau kepada seorang banduan yang didakwa menghubunginya melalui telefon bimbit.
“Banduan terbabit dipercayai turut memberikan lokasi khusus untuk menjatuhkan bungkusan berkenaan.
“Suspek wanita pula menafikan pembabitannya dan mendakwa tidak mengetahui kegiatan suaminya,” katanya.
Mengulas lanjut Halim berkata, hasil pemeriksaan oleh pihak penjara mendapati jarak dron diterbangkan oleh suspek kira-kira 313.48 meter dari rumah sewa.
“Pihak penjara menyatakan sehingga kini belum menjumpai apa-apa barang salah di lokasi dron itu berlegar.
“Siasatan lanjut juga dijalankan bagi mengenal pasti banduan yang dipercayai bersekongkol dalam cubaan penyeludupan itu,” katanya.
Beliau berkata, selain siasatan polis, pihak berkuasa turut akan memaklumkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi tindakan lanjut berhubung kesalahan menerbangkan dron tanpa kebenaran mengikut Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016.
Katanya, suspek lelaki dari Kelantan berusia 46 tahun direman empat hari bermula semalam manakala isterinya, 27, dari Terengganu sehari bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 58 Akta Penjara (Pindaan) 2015,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




