suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka ruang kepada syarikat swasta untuk menjalinkan kolaborasi strategik dalam memperkukuh usaha pencegahan rasuah, termasuk menawarkan kepakaran menerusi Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, selain melaksanakan pelbagai program pencegahan rasuah, syarikat swasta juga boleh memanfaatkan kepakaran yang ditawarkan MACA.
“KPJ Healthcare misalnya boleh melaksanakan kursus Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di MACA SPRM memandangkan syarikat itu mempunyai pegawai integriti dan unit integriti membabitkan sebanyak 29 buah hospital pakar di seluruh Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat pengurusan tertinggi KPJ Healthcare Berhad yang diketuai Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Mohd Farid Salim di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohd Farid berkata, kunjungan hormat itu bertujuan membina jalinan kerjasama yang lebih kukuh, mampan dan berimpak tinggi bagi menyokong agenda membanteras rasuah di negara ini.
“Sebagai tanda sokongan padu, KPJ Healthcare bercadang untuk menganjurkan pelbagai program pencegahan rasuah secara bersama yang bakal dihadiri sendiri oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, sekali gus membawa mesej utama iaitu ‘KPJ Bebas Rasuah’,” katanya.
Beliau berkata, sebagai timbal balas, KPJ Healthcare bersedia membantu meningkatkan kesejahteraan warga kerja SPRM dengan menganjurkan program kesihatan termasuk pemeriksaan kesihatan dan ceramah kesedaran penjagaan kesihatan.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam berkata, pihaknya sedia menjalankan pelbagai pengisian program pencegahan dalam masa terdekat membabitkan KPJ Healthcare.
“Kami sedia memberikan kerjasama penuh dan antara pengisian awal yang boleh kita laksanakan bersama termasuk majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR), sesi ceramah interaktif dan pelbagai aktiviti kesedaran yang bersesuaian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




