BN makin mesra PN? Mat Sabu akui Amanah kini berada di persimpangan

BN makin mesra PN? Mat Sabu akui Amanah kini berada di persimpangan

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu meluahkan kebimbangan terhadap hala tuju Kerajaan Perpaduan susulan perkembangan politik melibatkan Barisan Nasional (BN) di Johor dan Negeri Sembilan.

Tak sangka boleh bekerjasama dengan BN

Menerusi hantaran di media sosial Mohamad Sabu atau Mat Sabu, beliau menyatakan hubungan yang dibina bersama Pakatan Harapan (PH) sejak pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kini dilihat berdepan ujian apabila wujud tindakan yang memberi gambaran kerjasama itu semakin longgar.

Mat Sabu berkata, beliau sendiri tidak pernah menyangka BN yang sebelum ini menjadi seteru politik akhirnya dapat bekerjasama dalam sebuah kerajaan perpaduan.

Malah, sebagai bekas pemimpin PAS, beliau mengakui pada awalnya sukar membayangkan bagaimana kerjasama dengan UMNO dapat dijalinkan.

“Saya sendiri tertanya-tanya, bagaimana hendak berhadapan dan bekerjasama dengan UMNO yang telah begitu lama menjadi musuh politik saya? Namun, perubahan dalam pemikiran dan tindakan perlu dilakukan,” ujarnya.

Banyak kerjasama antara mereka telah dilalui

Beliau turut menambah, keyakinannya terhadap kerjasama itu mula terbina menerusi beberapa siri pilihan raya kecil termasuk di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram selepas pemergian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Menurutnya, kerjasama antara PH dan BN terus diperkukuhkan dalam beberapa pilihan raya kecil lain termasuk Pelangai, Kuala Kubu Baharu, Sungai Bakap, Nenggiri, Mahkota dan Ayer Kuning, apabila kedua-dua gabungan saling membantu memenangkan calon Kerajaan Perpaduan tanpa mengira parti yang bertanding.

Kerjasama bakal tinggal sejarah?

Walau bagaimanapun, beliau menyatakan situasi itu kini berubah apabila BN Johor mengumumkan hasrat bertanding secara solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), selain kemelut politik di Negeri Sembilan yang menyaksikan sokongan terhadap Menteri Besar negeri itu turut ditarik.

“Tetapi kini, persoalan apakah era itu akan tinggal sebagai sejarah apabila Barisan Nasional Johor mengisytiharkan mahu bergerak bersendirian?”

Mat Sabu berkata perkembangan itu menimbulkan persoalan besar mengenai masa depan Kerajaan Perpaduan yang dibina sejak 2022.

“Saya yang mendukung Kerajaan Perpaduan dan Parti Amanah Negara yang berdiri teguh dalam membentuk kerajaan ini, kini berada di persimpangan.
“Apakah Kerajaan Perpaduan ini akan terus dipelihara, ataupun yang sebaliknya akan berlaku?” soalnya.

Scroll to Top