Cuba seludup tembakau guna dron ke Penjara Sungai Udang, suami isteri dicekup

Cuba seludup tembakau guna dron ke Penjara Sungai Udang, suami isteri dicekup

am@hmetro.com.my

Melaka: Pasangan suami isteri dipercayai menyewa sebuah inap desa berhampiran Kompleks Penjara Sungai Udang di sini sebagai lokasi operasi untuk menyeludup barang larangan kepada banduan menggunakan dron.

Bagaimanapun, taktik licik pasangan warga tempatan berusia 46 dan 27 tahun itu terbongkar apabila kegiatan mereka dikesan pihak Penjara Sungai Udang sebelum diberkas polis, kelmarin.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengurusan penjara berhubung kegiatan berkenaan pada jam 3.10 petang.

“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dengan kerjasama Balai Polis Sungai Udang menyerbu sebuah inap desa di Taman Kris Satria pada jam 4 petang hari sama.

“Dalam serbuan itu, polis menahan pasangan terbabit dan merampas pelbagai barangan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan termasuk peralatan dron, bahan yang disyaki mahu diseludup, peranti komunikasi serta barangan lain bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek lelaki mengaku menerbangkan dron bagi meninjau lokasi pendaratan sebelum menyeludup masuk tembakau kepada seorang banduan.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati kegiatan itu dipercayai dilakukan hasil pakatan dengan seorang banduan dan usaha mengesan individu terbabit sedang dijalankan dengan kerjasama pihak Penjara Sungai Udang.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.

“Semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai 12 rekod jenayah dan tiga rekod kesalahan dadah, manakala suspek wanita tidak mempunyai rekod jenayah.

“Suspek lelaki direman empat hari manakala wanita sehari bagi membantu siasatan,” katanya.

Dzulkhairi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 58 Akta Penjara 1995 [Akta 537].

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top