300,000 dijangka hadir perlawanan akhir Piala Dunia FIFA di Dataran Merdeka

300,000 dijangka hadir perlawanan akhir Piala Dunia FIFA di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR: Seramai 300,000 peminat bola sepak dijangka membanjiri Dataran Merdeka bagi menyaksikan tayangan awam perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 menerusi skrin gergasi yang disediakan.

Program anjuran Yayasan Prihatin Nasional dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur serta beberapa agensi kerajaan itu bakal menjadi medan perhimpunan peminat bola sepak dalam suasana penuh meriah selain mengukuhkan semangat perpaduan masyarakat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, tayangan perlawanan akhir itu akan bermula pada pukul 8 malam dan dijangka berakhir pada awal pagi Isnin.

“Kehadiran orang ramai juga diharap dapat membantu program ini mencipta pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records,” katanya selepas menyertai Larian Uniti Merdeka di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Program larian itu turut disertai Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur,  Datuk Mohd Azani Omar dan 16 ahli Persatuan Wartawan Jenayah (CIJA).

Mengulas lanjut, Fadil berkata kira-kira 2,000 peserta menyertai Larian Uniti Merdeka yang melibatkan laluan sejauh lima kilometer.

Beliau berkata, program itu turut dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan sebuah motosikal sebagai hadiah utama.

“Program ini menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara polis dan masyarakat selain menyemarakkan semangat kebersamaan. 

“Ia akan diteruskan sehingga kemuncaknya menerusi tayangan awam perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 di Dataran Merdeka esok,” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top