am@hmetro.com.my
Sungai Siput: Seorang lelaki Orang Asli cedera selepas diserang gajah ketika cuba menghalau kawanan haiwan liar itu yang menceroboh kawasan Kampung Orang Asli Perjek, Rancangan Penempatan Semula (RPS) Legap, di sini, semalam.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 10 malam sebelum kakitangan PERHILITAN Daerah Sungai Siput digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira sejam lebih awal apabila empat ekor gajah memasuki kawasan belakang rumah penduduk dan memakan tanaman ubi kayu serta pisang.
“Mangsa bersama beberapa orang penduduk kampung cuba menghalau kumpulan gajah terbabit. Mangsa yang berada pada jarak yang hampir tiba-tiba diserang seekor daripada mamalia itu.
“Mangsa mengalami kecederaan serta tidak sedarkan diri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
PERHILITAN berkata, mangsa berjaya diselamatkan penduduk kampung sebelum membawanya keluar dari lokasi untuk dihantar ke Hospital Sungai Siput kira-kira jam 10.30 malam menggunakan ambulans.
Katanya, mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Katanya lagi, PERHILITAN akan membantu waris serta keluarga mangsa untuk mendapatkan bantuan melalui inisiatif Bantuan Mangsa Serangan Hidupan Liar di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Dalam pada itu, PERHILITAN berkata pemantauan menggunakan dron mendapati kumpulan gajah terbabit sudah beredar dari kawasan kampung itu.
Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil tindakan sendiri untuk menghalau hidupan liar khususnya gajah, kerana tindakan itu boleh mengundang risiko keselamatan.
Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi www.wildlife.gov.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd




