Pelawak veteran Abon dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung kedua

Pelawak veteran Abon dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung kedua

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelawak veteran, Abon kembali dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, berikutan mengalami serangan jantung kali kedua pada Rabu lalu.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) Sandakiah Azez kepada Harian Metro, malam ini.

“Doktor melakukan pemantauan rapi terhadap Abon dan sedang berusaha mendapatkan slot untuk memasang dua stent lagi pada Khamis ini,” katanya.

Terdahulu, Abon atau nama sebenarnya, Sharizan Ahmad, 66, menjalani pembedahan memasukkan belon di hospital terbabit pada 30 Jun lalu.

Selepas hampir dua minggu menerima rawatan, dia kemudian dibenarkan pulang dan hanya berehat di rumah, minggu lalu.

Bercakap kepada media, Abon memaklumkan keadaan kesihatannya semakin baik selepas menjalani prosedur angiogram dan angioplasti belon bagi merawat saluran jantung yang tersumbat.

Terdahulu, pelawak itu terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami masalah jantung serius akibat batuk berpanjangan selama enam bulan yang disangka sakit biasa.

Abon dikatakan mengalami sakit dada ketika menyertai Ekspo Jabatan Warisan Negara Makanan Tradisi Malaysia di Ipoh, Perak sebelum dibawa ke klinik pada 28 Jun lalu.

Dia kemudian dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan menerima rawatan di zon kecemasan sebelum memaklumkan mahu dirawat di HCTM, di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top