Rancangan Trump bina semula Gaza hanya tinggal janji

Rancangan Trump bina semula Gaza hanya tinggal janji

GAZA: Lembaga Keamanan yang dipimpin Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengecilkan pelan pemulihan Gaza dengan menggantikan usaha pembinaan semula wilayah itu dengan cadangan penempatan sementara menggunakan kabin mudah alih.

Cadangan terbaharu itu akan dilaksanakan di kawasan zon penampan sepanjang garisan gencatan senjata berhampiran Rafah, di bawah pentadbiran Palestin, polis dan pasukan keselamatan antarabangsa berskala kecil.

Perubahan itu berbeza daripada cadangan sebelum ini yang dibentangkan menantu Trump, Jared Kushner, menerusi pelan ‘pasaran bebas Gaza’ pada Januari lalu, yang menjamin infrastruktur asas dalam tempoh 100 hari.

Setakat ini, tiada kerja pembinaan atau persiapan dimulakan bagi projek tersebut melalui Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF), pengaman dari pelbagai negara yang diwujudkan di bawah pelan keamanan Gaza 2025 dengan mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Sementara itu, sebuah pangkalan logistik untuk ISF hampir siap dibina di lintasan Kerem Shalom antara Israel dan Gaza.

Pasukan berkenaan dijangka menjalani latihan di Mesir melibatkan anggota dari Maghribi, Kosovo serta kemungkinan Albania dan Kazakhstan sebelum ditempatkan di Gaza.

Proses latihan itu dijangka mengambil masa beberapa bulan, manakala peraturan undang-undang berkaitan kehadiran pasukan tersebut masih dalam rundingan dengan kerajaan Israel.

Pelan perintis itu dirangka kira-kira dua minggu lalu di Cyprus oleh Lembaga Keamanan, pentadbiran Trump, Institut Tony Blair serta Jawatankuasa Kebangsaan untuk Pentadbiran Gaza.

Menurut rancangan tersebut, tentera Israel akan berundur dari garisan gencatan senjata, manakala kem penempatan berkenaan akan diletakkan di bawah pengawasan ISF dan pasukan polis Palestin yang menerima latihan khas.

Bagaimanapun, sumber kewangan untuk projek itu masih tidak didedahkan atau statusnya belum diketahui. 

Lembaga Keamanan kini berusaha mendapatkan akses kepada kira-kira AS$11 bilion (RM45 bilion) hasil kutipan cukai Palestin dan aset bank yang dibekukan oleh Israel, langkah yang mencetuskan kemarahan Pihak Berkuasa Palestin (PA).- AGENSI

 

Scroll to Top