am@hmetro.com.my
Langkawi: Aktivis Tamim Dahri Abdul Razak yang tamat tempoh reman dua hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson hari ini, ditahan semula bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin, berkata Tamim Dahari ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Langkawi sejurus selesai tempoh remannya.
Menurutnya, sebelum ini aktivis itu ditahan reman selama dua hari di IPD Port Dickson bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sejurus tempoh reman itu tamat, suspek ditahan semula oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Langkawi berhubung laporan polis Kuah bernombor 2875/26 yang disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.
“Waran tangkap telah disempurnakan terhadap suspek dan dia akan dibawa ke Mahkamah Majistret Langkawi esok bagi tujuan pertuduhan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, Tamim Dahri pernah didakwa secara in absentia di Mahkamah Majistret Langkawi pada 17 Mac lalu mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan selepas gagal hadir ke mahkamah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




