Amierul lakar juara hatrik, Ritzy menang bonus

Amierul lakar juara hatrik, Ritzy menang bonus

Cameron Highlands : Jaguh larian denai negara, Mohamad Amierul Amin Shamsul mendedahkan strategi menyimpan tenaga pada babak pertama membuahkan hasil apabila berjaya menjuarai kategori 100 kilometer (KM) Lelaki Terbuka pada acara Cameron Ultra (Cultra), di sini.

Tidak hanya itu, kejayaan memintas peserta dari Jepun, Yutaro Yokouchi dan mengatasi cabaran peserta Thailand, Surasak Somboon membolehkan Mohamad Amierul melengkapkan gelaran juara hatrik buat tahun ini selepas mengungguli Trail des Gombak dan Muallim Cross Country Run, baru-baru ini.

“Pada awalnya saya langsung tidak menjangka kerana cuaca panas. Badan saya dah mula rasa semacam, hampir terkena ‘heat stroke’ (strok haba). Ketika berada di ladang teh tu, asal nampak sungai je saya wajib mandi untuk sejukkan badan. Kebanyakannya terpaksa berjalan kaki.

“Bagaimanapun hujan yang turun pada sebelah petang sedikit sebanyak membantu untuk saya menukar rentak larian dan mengejar kedudukan peserta di hadapan, ” ujarnya yang mencatat masa 14 jam 51 minit 58 saat bagi kategori yang turut dikenali MOSSY100 itu.

Yutaro terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan catatan (15:01:34) manakala Surasak (15:20:47).

Jaguh wanita pula dikuasai peserta dari Filipina, Ritzy Amor Ectin dengan catatan 19:04:30, kedua Halimatun Saadiah Mat Nor (20:07:54) dan ketiga Michelle Ng (20:15:10).

Ritzy yang sudah lama menetap di Malaysia berkata kejayaan itu cukup manis dan berbaloi buatnya.

Katanya, dia tidak meletakkan sebarang sasaran sebelum menyertai acara itu sebaliknya sentiasa berazam melakukan yang terbaik.

“Strategi saya adalah melepasi peringkat demi peringkat kerana tidak mahu memberi tekanan kepada diri sendiri. Saya anggap kemenangan ini adalah bonus atas semua kerja keras saya,” katanya.

Sementara itu saingan menarik bagi kategori Lelaki Veteran 100KM menyaksikan penguasaan peserta tempatan menerusi jaguh dari Sabah, Daved Simpat (14:17:14) kedua, Yih Huan Sua (16:46:09) dan ketiga, Mohd Khalid Ab Samad (20:27:45).

Manakala kategori Wanita Veteran 100KM diungguli Siok Har Lim (21:00:47) kedua, Tamae Harada (22:42:28) dan ketiga, Siti Hajar Razali (23:57:49)

Jaguh negara, Oswald Maikol pula mendominasi acara 60KM Lelaki Terbuka atau dikenali BEREMBUN60 dengan catatan 6 jam 23 minit 08 saat, kedua menjadi milik jaguh dari Australia, Kristjan Chapman (6:25:46) ketiga, peserta dari Indonesia, Muhammad Fahri Zulhami (7:19:23).

Saingan kategori Wanita Terbuka pula dimenangi Yinn Zhao Boon (8:42:09) kedua, Supattra Matsilp (8:48:03) ketiga, Natahsya Soon (9:45:13).

Osama Alif Zainol Abiddin pula mengungguli kategori 30KM (siang) atau HABU30 bagi Lelaki Terbuka dengan catatan 3 jam 31 minit, diikuti rapat Khairulamirin Kamarudin (3:36:09) dan ketiga, Mohd Fazlie Rosli (3:36:21).

Manakala Suqing Li (4:01:01) ungguli kategori Wanita Terbuka mengatasi Nurfathin Zahrolayali (4:42:50) dan Payungjit Kosopa (4:53:45).

Turut dipertandingkan acara kategori 14KM atau dikenali PAUH14 (malam) dan 14KM (siang) serta acara 4KM membabitkan laluan sekitar Tanah Rata.

Cultra menyambut ulang tahun penganjur ke-10 turut mendapat suntikan kerjasama daripada jenama sukan terkemuka Asics buat tahun kedua berturut-turut.

Acara yang membabit penyertaan 3,600 peserta daripada lebih 30 negara itu turut menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai sekitar RM24,000 (AS$4,600), dengan juara kategori utama membawa pulang hadiah wang tunai sehingga AS$1,000.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top