Kuala Lumpur: Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 yang bertujuan untuk memperkukuh kerangka perundangan negara dalam menangani ancaman jenayah siber yang semakin kompleks.
RUU yang mengandungi lapan bahagian dan 61 fasal itu digubal bagi memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997.
RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara selepas dibahaskan oleh 21 Ahli Dewan Negara dan dipersetujui tanpa pindaan di peringkat Jawatankuasa.
Ketika menggulung perbahasan, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata semua kesalahan di bawah RUU Jenayah Siber 2026 boleh diekstradisi kerana memperuntukkan hukuman penjara minimum tiga tahun.
Beliau berkata di bawah Akta Ekstradisi 1992, mana-mana kesalahan yang membawa hukuman penjara sekurang-kurangnya setahun dikategorikan sebagai kesalahan yang boleh diekstradisi.
“Memandangkan hukuman penjara minimum yang diperuntukkan di bawah RUU Jenayah Siber 2026 ialah tiga tahun, maka secara automatik semua kesalahan di bawah RUU ini turut boleh diekstradisi,” katanya.
Rubiah berkata kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama antarabangsa menerusi mekanisme Bantuan Perundangan Bersama (MLA), INTERPOL, ASEANAPOL, kerjasama antara pasukan serta pelaksanaan Konvensyen Budapest dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Jenayah Siber.
Beliau berkata bagi mendapatkan keterangan dan bukti digital, termasuk melaksanakan penggeledahan dan penyitaan di luar negara serta menjejak lokasi pelaku, kerajaan akan menggunakan peruntukan di bawah Akta Bantuan Bersama Dalam Perkara Jenayah 2002.
Beliau berkata RUU Jenayah Siber 2026 tidak mengawal selia teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) secara khusus, sebaliknya memberi tumpuan kepada tindakan undang-undang terhadap penyalahgunaan teknologi itu bagi tujuan jenayah seperti penipuan, manipulasi pilihan raya serta eksploitasi seksual.
Beliau berkata kerajaan turut menegaskan bahawa RUU itu tidak bertujuan menyekat kebebasan bersuara, kebebasan media mahupun penyelidikan akademik yang dijalankan secara sah di sisi undang-undang.
“Sebarang tindakan hanya boleh diambil apabila semua elemen kesalahan yang diperuntukkan berjaya dibuktikan melalui proses penyiasatan dan prosiding mahkamah mengikut prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.
Dalam perbahasan itu, Senator Datuk Salehuddin Saidin menggesa kerajaan meneliti semula peruntukan hukuman denda dan penjara di bawah RUU berkenaan bagi memastikan hukuman lebih berat dikenakan terhadap sindiket penipuan dalam talian berskala besar, selain memasukkan mekanisme pembayaran ganti rugi secara terus kepada mangsa.
Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff pula berpendapat RUU berkenaan perlu memasukkan satu bahagian khusus mengenai hak mangsa, termasuk hak memohon perintah mahkamah bagi pemadaman kandungan, mendapatkan pampasan dan pemulihan identiti digital.
Sementara itu, Senator Dr A. Lingeshwaran menggesa penyedia perkhidmatan kewangan dan telekomunikasi beralih daripada sistem kata laluan sekali guna (OTP) melalui SMS kepada kaedah pengesahan biometrik atau kriptografi yang lebih selamat, selain melaksanakan audit keselamatan siber secara berkala dan bebas.
RUU itu dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara hari ini.
Persidangan Dewan Negara bersambung esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd




