Isu eFishery: Anwar wajib bertanggungjawab, Pengerusi KWAP perlu direhatkan – Pemuda Pas

Isu eFishery: Anwar wajib bertanggungjawab, Pengerusi KWAP perlu direhatkan – Pemuda Pas

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan susulan kontroversi pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat pemula teknologi akuakultur, eFishery yang dikaitkan dengan penipuan korporat.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, Anwar perlu bertanggungjawab atas kegagalan memastikan tadbir urus institusi kewangan negara berada pada tahap yang sewajarnya.

Selain itu katanya, Pengerusi KWAP juga perlu direhatkan sementara siasatan dijalankan.

“Pemuda Pas memandang serius isu pelaburan KWAP dalam syarikat eFishery yang mengakibatkan dana persaraan negara berdepan kerugian berjumlah RM163.4 juta.

“Kehilangan RM163.4 juta bukan sekadar isu pelaburan, tetapi isu kepercayaan rakyat terhadap pengurusan wang persaraan negara.

“Tiada siapa yang boleh terlepas daripada dipertanggungjawabkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, Anwar dilapor menegaskan, kerajaan tidak akan bertolak ansur sekiranya siasatan mendapati wujud unsur rasuah atau penyelewengan pelaburan KWAP dalam eFishery.

Beliau yang menjawab isu eFishery di Dewan Negara berkata, walaupun laporan awal menunjukkan tidak wujud unsur sedemikian, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu meneliti keseluruhan proses pelaburan.

Mengulas lanjut, Afnan Hamimi berkata, kenyataan Anwar yang sekadar menggesa SPRM menjalankan siasatan amat mengecewakan.

Beliau menambah, rakyat tidak hanya mahukan siasatan, tetapi ingin mengetahui pihak bertanggungjawab meluluskan pelaburan tersebut dan kegagalan proses tadbir urus KWAP sehingga dana rakyat terdedah kepada penipuan.

“Alasan bahawa KWAP masih mencatat keuntungan berbilion ringgit langsung tidak boleh dijadikan justifikasi untuk memperkecilkan kehilangan RM163.4 juta.

“Setiap ringgit dana persaraan adalah amanah kepada rakyat, bukannya angka yang boleh dipandang ringan,” katanya.

Justeru ujar beliau, Anwar tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab politik dan perlu tampil memberi penjelasan menyeluruh berhubung perkara tersebut.

Scroll to Top