PRN N.9: Manifesto PH berasaskan rekod pencapaian, bukan sekadar ‘janji kosong’ -Steven

PRN N.9: Manifesto PH berasaskan rekod pencapaian, bukan sekadar ‘janji kosong’ -Steven

Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dibawa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 disifatkan bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya dibina berasaskan rekod pencapaian kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dibuat berasaskan rekod pencapaian

Memetik laporan daripada Utusan Malaysia, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong menyatakan, manifesto yang menggariskan 10 komitmen utama itu merupakan kesinambungan kepada dasar dan program yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Menurut beliau, kekuatan manifesto PH terletak pada pelaksanaan yang disokong oleh pengalaman serta pencapaian sebenar, sekali gus mencerminkan komitmen gabungan itu untuk meneruskan agenda pembangunan negeri.

“Manifesto ini berasaskan pengalaman dan pencapaian yang telah terlaksana.
“Ia membuktikan bukan sahaja kekuatan, malah iltizam politik untuk meneruskan perjuangan demi rakyat, memperkukuh pencapaian ekonomi negeri serta memastikan manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Warga dan Agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Negeri Sembilan.

Steven Sim yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan, antara tawaran utama dalam manifesto itu ialah penubuhan Tabung Usahawan Belia (TUB) bagi memperkasa usahawan muda di Negeri Sembilan selaras dengan peranan kementerian diterajuinya.

Semalam, PH melancarkan manifesto PRN Negeri Sembilan yang mengandungi 10 komitmen utama dengan menampilkan agenda kerajaan yang stabil, bersih dan mesra rakyat.

Antara fokus utama termasuk mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan berkualiti tinggi, membina 20,000 rumah mampu milik dalam tempoh lima tahun serta merealisasikan projek Pelabuhan Antarabangsa Port Dickson, Landasan Bypass Senawang-Port Klang dan Seremban Sentral.

Sumber: Utusan Malaysia (Nor Shahfiqah Mohd Ghazali)

Scroll to Top