hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Kuala Lumpur komited memastikan tahap kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap tertinggi dengan menegaskan bahawa pasukan keselamatan itu ‘tidak pernah tidur’ dalam memelihara ketenteraman awam di ibu negara.
Komitmen berkenaan dibuktikan menerusi penganjuran Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang diadakan pada waktu malam, sekali gus menjadi simbolik kesediaan warga pasukan itu berkhidmat tanpa mengira masa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, penganjuran perhimpunan pada waktu malam itu memberi isyarat dan gambaran jelas bahawa penugasan anggota polis di bandar raya ini berlangsung tanpa henti selama 24 jam.
Katanya, sebagai sebuah bandar metropolitan dengan kepadatan penduduk yang tinggi, kebanyakan insiden jenayah direkodkan berlaku pada waktu malam, justeru menuntut kekuatan anggota untuk sentiasa digerakkan dan bersiap sedia sepanjang masa.
“Kita mahu memberi isyarat bahawa Kuala Lumpur tidak pernah tidur. Penugasan polis di sini berjalan 24 jam, siang dan malam.
“Perhimpunan bulanan pada waktu malam ini bukan bertujuan mengganggu operasi, sebaliknya menonjolkan budaya kerja polis yang sentiasa aktif kerana banyak operasi, tugas risikan dan siasatan dijalankan pada waktu sebegini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan IPK Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Fadil berkata, penganjuran perhimpunan pada waktu malam itu adalah kali kedua diadakan selepas ia mendapat galakan serta sokongan daripada Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara.
Katanya, pendekatan unik itu akan terus dipraktikkan sebagai manifestasi komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjamin keselamatan warga ibu kota sentiasa berada pada tahap terbaik.
© New Straits Times Press (M) Bhd




