Kuala Terengganu: Pembantu tadbir yang cedera dalam kejadian bot candat sotong karam di perairan Terengganu awal Julai lepas menerima perlindungan LINDUNG 24 Jam oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
PERKESO dalam kenyataan malam ini memaklumkan, Muhammad Farris Zakwan Mohd Ibrahim, 33, yang bertugas di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Kuala Lumpur, layak menerima Faedah Perubatan serta Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sebagai gantian pendapatan sepanjang tempoh cuti sakitnya dari 4 Julai hingga hari ini, dengan bayaran berjumlah RM1,368.
Selain itu, Muhammad Farris juga layak menerima rawatan fisioterapi secara berterusan bagi membantu proses pemulihan tangan yang cedera dengan kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO.
“Semakan oleh PERKESO mendapati Muhammad Farris adalah pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), sekali gus layak menerima perlindungan LINDUNG 24 Jam.
“Insiden itu membuktikan kemalangan boleh berlaku pada bila-bila masa, termasuk ketika pekerja sedang bercuti, dan perlindungan LINDUNG 24 Jam memastikan pencarum yang layak terus mendapat bantuan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Muhammad Farris dalam kenyataan sama menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada PERKESO atas bantuan yang diterimanya.
Beliau berkata faedah berkenaan memberikan kelegaan sepanjang tempoh tidak dapat bekerja selain membolehkannya menjalani rawatan dan fisioterapi tanpa perlu memikirkan kos perbelanjaan yang tinggi.
Justeru, pembantu tadbir itu berharap lebih ramai pekerja menyedari bahawa perlindungan PERKESO bukan hanya ketika berada di tempat kerja, malah turut melindungi pencarum yang layak sepanjang masa menerusi skim LINDUNG 24 Jam.
Pada 3 Julai lepas, seorang pembantu tekong maut, tiga cedera, manakala lapan selamat dalam kejadian bot mencandat sotong karam di perairan Terengganu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




