am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Insiden pergaduhan membabitkan murid yang berlaku di luar kawasan sekolah dan tular di media sosial kini dalam proses tindakan perundangan selepas polis selesai menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pihaknya memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.
“JPWPKL mengambil serius insiden pergaduhan melibatkan murid yang berlaku di kawasan perumahan seperti yang tular di media sosial.
“JPWPKL tidak berkompromi dengan sebarang salah laku keganasan melibatkan warganya. Tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang bersalah,” katanya.
JPWPKL juga menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan identiti kanak-kanak bawah umur kerana perbuatan itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang.
Terdahulu, tular rakaman video di media sosial yang memaparkan sekumpulan pelajar memakai baju sukan sekolah bertindak memukul seorang remaja lelaki hingga cedera parah sambil merakam tindakan itu.
Susulan kejadian berkenaan, empat pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam kejadian di Residensi Prima Alam Damai, Cheras, pada 5 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata polis menerima laporan daripada ibu mangsa pada jam 12.54 tengah malam hari sama sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras menahan semua suspek bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




