am@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Premis Network School di Forest City, di sini, didapati tidak lagi beroperasi susulan pembatalan lesen perniagaan NSO Malaysia Sdn Bhd oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), berkuat kuasa hari ini.
Tinjauan di premis berkenaan pagi ini mendapati satu notis pemberitahuan penutupan sementara ditampal pada pintu masuk utama.
Manakala, papan tanda yang sebelum ini memaparkan nama Network School yang dipasang di pintu masuk premis berkenaan turut diturunkan.
Bagaimanapun, beberapa pengawal keselamatan masih dilihat berada di dalam kawasan premis bagi mengawal keadaan.
Semalam, MBIP mengumumkan pembatalan lesen perniagaan NSO Malaysia Sdn Bhd (Network School) serta mengarahkan semua aktiviti syarikat itu dihentikan berkuat kuasa 22 Julai selepas didapati melanggar beberapa syarat pelesenan.
Kerajaan Negeri Johor dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan itu dibuat susulan keputusan Mesyuarat Penuh Khas MBIP yang mendapati syarikat berkenaan gagal mematuhi syarat ditetapkan di bawah lesen perniagaan yang dikeluarkan.
Antara pelanggaran yang dikenal pasti ialah menjalankan operasi di salah satu premis tanpa lesen yang sah selain tidak mematuhi syarat penggunaan premis yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Kerajaan Negeri turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau syarat pelesenan, selain mengingatkan semua pengusaha perniagaan supaya mematuhi sepenuhnya peraturan yang berkuat kuasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




