Siti Nurhaliza puji pakej lengkap Odda

Siti Nurhaliza puji pakej lengkap Odda

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza kagum melihat potensi luar biasa anak didiknya dalam arena muzik tanah air.

Menilai dan melihat sendiri bakat penyanyi muda seperti Auddra Zulkifli atau mesra dikenali sebagai Odda yang kini mengorak langkah di bawah syarikat rakaman SN Legacy Sdn Bhd milik ikon muzik tersohor itu.

Siti mendedahkan dia sudah nampak kesesuaian hala tuju muzik serta kekuatan vokal remaja Gen Z itu sejak persembahannya di pentas program Talk to My Manager lagi.

“Saya nampak kelebihan dan pakej suara hebat ada pada Odda malah dia hampir mendapat semua kualiti seorang penghibur pelapis yang boleh menyanyi sambil menari dengan baik.

“Sebab itu saya tegaskan, dia sangat layak berada di posisi sekarang dan kalau tidak layak saya tidak akan pilih dia.

“Bukan kita mahu paksa dia nyanyi lagu balad, sebaliknya kekuatan vokalnya menjurus ke arah irama pop dan rancak ala K-Pop bersesuaian jiwa remajanya,” kata Siti Nurhaliza ketika ditemui pada majlis pelancaran single sulung Odda bersama SNL berjudul Gelanggang Rasa, di sini, semalam.

Biarpun sibuk bersilih ganti tugas lakonan dan pengacaraan, sikap kerja keras luar biasa Odda terus menjadi kebanggaan mentornya.

“Jadual dia memang sangat padat sampai susah untuk dicari, saya ingat saya sahaja yang susah orang nak dapatkan jadual kerana dia bukan buat satu kerja sahaja.

“Sebenarnya perancangan untuk merakamkan lagu ini dibuat lebih awal, namun terpaksa ditangguhkan seketika memandangkan dia terikat dengan pelbagai tawaran kerja lain,” katanya.

Mengetahui lumrah kerjaya seni memandangkan status ibunya yang juga selebriti popular Sharifah Shahirah, Siti mahu Odda terus ke depan tanpa mempedulikan cakap-cakap belakang.

“Apabila lahir dari keluarga industri hiburan, orang pasti akan sentiasa kaitkan isu laluan kerjaya mudah untuk dirinya.

“Jadi cukup sekadar dia jaga nama baik keluarga serta terus buktikan kemampuan diri bagi mencapai impian besar,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top