Isu siasatan SPRM terhadap KUIJSI membabitkan bekas pegawai MARSAH bukan Mohd Fared

Isu siasatan SPRM terhadap KUIJSI membabitkan bekas pegawai MARSAH bukan Mohd Fared

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Anak syarikat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), MARSAH Sdn Bhd menafikan dakwaan yang mengaitkan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dakwaan itu dikaitkan dengan isu tatakelola dan kronisme di Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI).

MARSAH Sdn Bhd dalam kenyataan berkata, pihaknya maklum dakwaan yang dibuat bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menerusi hantaran media sosial hari ini berhubung siasatan SPRM bertarikh 26 Mac lalu.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada SPRM, siasatan dijalankan terhadap seorang bekas pegawai MARSAH dan bukannya terhadap Mohd Fared selaku Pengerusi Lembaga Pengarah MARSAH.

“Justeru, dakwaan yang mengaitkan beliau dengan siasatan SPRM adalah tidak tepat dan tidak berasaskan fakta sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Dr Mohd Puad menerusi hantaran di Facebook mempersoalkan status siasatan SPRM terhadap KUIJSI yang didakwa melibatkan isu tatakelola dan kronisme serta mengaitkan nama Mohd Fared.

Menerusi kenyataan itu, MARSAH Sdn Bhd turut menyatakan bahawa sebarang kelemahan atau kelompangan tadbir urus yang diwarisi sebelum ini sedang ditambah baik melalui beberapa inisiatif yang diputuskan secara kolektif oleh Ahli Lembaga Pengarah MARSAH pada 26 Jun lalu.

“Sebagai pemilik lesen pengoperasian KUIJSI, MARSAH sentiasa memastikan pentadbiran dan operasi institusi itu mematuhi kehendak Akta 555 serta Perlembagaan KUIJSI.

“Sebarang dakwaan salah laku yang ditujukan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah MARSAH adalah suatu rekayasa politik yang tersasar jauh daripada fakta sebenar,” katanya.

Beliau berkata, MARSAH juga sedang melaksanakan pelan penyusunan semula struktur tadbir urus KUIJSI sebagai persediaan ke arah status universiti penuh yang disasarkan pada 2027.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top