PETALING JAYA: Sebanyak 96,700 peluang pekerjaan masih aktif ditawarkan kepada rakyat Malaysia menerusi platform MYFutureJobs kendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat 30 Jun lalu, sekali gus mencerminkan permintaan berterusan terhadap tenaga kerja tempatan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan Ramakrishnan berkata, secara keseluruhannya sebanyak 668,321 kekosongan jawatan telah diiklankan menerusi platform berkenaan sehingga tarikh tersebut.
Menurut beliau, statistik itu membuktikan peluang pekerjaan terus tersedia merentasi pelbagai sektor ekonomi dan tahap kemahiran, selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat memperoleh akses kepada pekerjaan berkualiti.
“Sehingga 30 Jun, sebanyak 668,321 kekosongan jawatan telah diiklankan menerusi MYFutureJobs kendalian Perkeso, dengan 96,700 peluang pekerjaan masih aktif untuk dimohon oleh rakyat Malaysia.Statistik ini membuktikan bahawa peluang pekerjaan terus tersedia merentasi pelbagai sektor dan tahap kemahiran.
“Oleh itu, melalui PERKESO dan platfom MYFutureJobs, Kerajaan MADANI menyediakan sokongan menyeluruh, termasuk padanan pekerjaan, kaunseling kerjaya, semakan resume, persediaan temu duga serta program latihan semula dan peningkatan kemahiran, bagi membantu pencari kerja kembali bekerja dengan lebih pantas.
“Daripada 96,700 peluang pekerjaan aktif, hampir 40 peratus terdiri daripada pekerjaan berkemahiran tinggi, lebih 30 peratus melibatkan sektor TVET, 1 manakala hampir 20 peratusmenawarkan gaji melebihi RM5,000 sebulan, mencerminkan permintaan tinggi industri terhadap bakat tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ramanan, Selain platform digital, Kerajaan Madani melalui Perkeso turut memperluaskan akses kepada peluang pekerjaan menerusi penganjuran Karnival Kerjaya MYFutureJobs di seluruh negara sebagai antara inisiatif memperkasakan peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Sepanjang Januari hingga Mei 2026, 2,989 program telah dianjurkan melibatkan 86,594 pencari kerja, dengan 14,029 individu berjaya mendapat pekerjaan dan 15,809 lagi dipanggil ke peringkat temu duga seterusnya.
“Kerajaan Madani melalui Perkeso juga menyediakan Bantuan Mobiliti sehingga RM1,000 bagi membantu pencari kerja yang perlu berpindah untuk memulakan pekerjaan baharu,” katanya.-UTUSAN




