PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSAM) dijangka didagangkan secara julat terikat antara RM4,400 hingga RM4,650 setan menjelang Ogos, didorong oleh pengukuhan pasaran tenaga serta penguatkuasaan mandat B50 di Indonesia.
Menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), pengukuhan pasaran tenaga berikutan ketegangan baharu Amerika Syarikat-Iran telah melonjakkan harga bahan api diesel sebanyak 30 peratus pada pertengahan Julai lalu, sekali gus mengatasi harga minyak sawit dan minyak soya.
“Bagaimanapun, peningkatan harga secara berterusan dijangka terhad berikutan permintaan yang masih sederhana dan paras stok minyak sayuran yang tinggi di pasaran-pasaran utama.
“Pengeluaran minyak sawit Malaysia melonjak 8.0 peratus bulan ke bulan kepada 1.63 juta tan pada Jun 2026 berikutan kitaran pengeluaran bermusim. Namun, keluaran tersebut kekal tiga peratus lebih rendah berbanding Jun 2025 yang mencatatkan penurunan tahun ke tahun bagi bulan keempat berturut-turut,” katanya dalam kenyataan.
Eksport minyak sawit turut merekodkan peningkatan 6.1 peratus bulan ke bulan kepada 1.20 juta tan pada Jun, tetapi 4 peratus di bawah paras Jun 2025 susulan penggunaan minyak dan lemak yang lebih perlahan di China serta India akibat impak konflik Asia Barat.
Bagi separuh pertama 2026, purata Kadar Perahan Minyak (OER) daripada buah tandan segar (BTS) meningkat kepada 20.08 peratus berbanding 19.45 peratus tempoh sama tahun lalu, sekali gus mencatatkan paras tertinggi dalam tempoh satu dekad berikutan taburan hujan yang baik pada 2025.
Mengulas lanjut, MPOC berkata, permintaan jangka pendek mungkin menerima sokongan daripada aktiviti penyediaan stok bagi perayaan Deepavali di India, memandangkan negara itu secara kebiasaannya mengimport kira-kira 30 peratus daripada keperluan tahunannya antara Julai hingga September.
“Minyak sawit kekal sebagai minyak sayuran utama yang paling kompetitif dari segi harga, meletakkannya pada kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada pembekalan semula stok bermusim menjelang Deepavali,” katanya.
Di peringkat global, pertumbuhan pengeluaran tiga bijirin minyak utama (soya, bunga matahari dan kanola) dijangka perlahan kepada 16.5 juta tan bagi musim 2026/27, berbanding purata tahunan 22.7 juta tan sebelum ini.
Pertumbuhan pengeluaran yang lebih perlahan ini, bersama dengan peningkatan permintaan sektor biobahan api, dijangka kekal menyokong paras harga minyak sayuran secara keseluruhan. –UTUSAN




