am@hmetro.com.my
Seremban: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, Datuk Seri Aminuddin Harun, mendedahkan air matanya mengalir saat cuba meyakinkan diri untuk meninggalkan Sikamat dan bertanding di Linggi.
Beliau mengakui mempunyai sentimen mendalam di Sikamat kerana bermula sebagai pembangkang yang ‘tidak mempunyai apa-apa’ pada 2008 sehingga dilantik menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Atas sokongan semua sehingga hari ini, saya amat terhutang budi dengan masyarakat Sikamat, kepada masyarakat Melayu, Cina dan India yang memberi sokongan walaupun ketika itu saya tidak punya apa-apa.
“Saya hanya sebagai pembangkang, tetapi tuan-tuan memenangkan saya. Pada 2008 kita bermula, diteruskan kepada 2013 ketika saya tidak punya apa-apa lagi, tuan-tuan tetap memberikan sokongan ketika itu,” katanya.
Aminuddin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perpaduan kawasan Sikamat, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Aminuddin menaruh keyakinan pengundi di Sikamat akan mempertahankan kerusi itu dengan memberi sokongan kepada Setiausaha Politiknya, Nor Azman Mohamad, yang menjadi calon DUN Sikamat.
“Saya nak tinggalkan Sikamat bukan mudah. Saya terpaksa berfikir banyak kali, saya menitiskan air mata di masjid ketika saya nak membuat pengisytiharan dalam diri saya yang saya kena berpindah.
“Saya sayang semua, ini keluarga besar saya. Saya kenal mereka puluhan tahun. Saya sayang semua, saya sayang masyarakat Melayu, Cina, India,” katanya.
Aminuddin berkata, rakyat tidak boleh serahkan Negeri Sembilan kepada mereka yang rakus dengan kuasa dan pengkhianat.
“Pilihan raya ini bukan pilihan saya, ia adalah pilihan mereka yang tamak kuasa. Mereka tarik sokongan bukan sahaja kepada kerajaan negeri, tetapi juga kepada saya sebagai Menteri Besar.
“Selepas itu mereka kata mereka bersama (Kerajaan Perpaduan), tetapi tidak ada satu nota atau surat mengesahkan mereka setuju bersama kita. Inilah yang dikatakan pengkhianat.
“Hari ini sah tembelang mereka, hari ini dah ditunjuk. Hari ini PAS bersama Barisan Nasional (BN) (setuju) untuk mentadbir Negeri Sembilan.
“Hari ini juga mereka memperkatakan satu perkataan, ‘Perikatan Barisan Nasional. Ini mereka buktikan, mereka sudah tunjukkan sebenarnya bagaimana mereka sudah mula untuk menjatuhkan kerajaan yang ada. Inilah mereka.
“Dalam keadaan baik, dalam keadaan aman, dalam keadaan kita menuju ke arah cemerlang, mereka tarik sokongan, mereka tunjukkan kepada kita bahawa mereka ingin berkuasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




