Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menaikkan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menunjukkan kerajaan berada dalam keadaan terdesak untuk meraih sokongan rakyat.
Menurut Hamzah, meskipun beliau menyambut baik sebarang penambahan bantuan kepada rakyat, pengundi perlu menilai sendiri masa pengumuman itu dibuat yang bertepatan dengan tempoh berkempen.
“Untuk kepentingan rakyat, tambahlah kalau dia nak tambah 100 peratus pun, Alhamdulillah. Kalau dia tambah lagi banyak pun, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana diberikan kepada rakyat.
“Cuma rakyat kena sedar sikitlah yang diumum itu masa pilihan raya negeri (dan) orang yang mengumumkan waktu pilihan raya itu, maknanya dia terdesak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program ceramah umum bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang di Felcra Lakai, malam tadi.
Terdahulu, Hamzah diminta mengulas pengumuman Anwar bahawa kadar SARA akan dinaikkan lagi tahun depan ketika berucap pada Jelajah Kekal Harapan sempena kempen PRN Negeri Sembilan di Paroi.

Artikel lain: Kita dengar rintihan rakyat… Kerajaan naikkan kadar SARA dalam masa terdekat – PM Anwar
Mengulas lanjut, Hamzah berpandangan seorang perdana menteri seharusnya membuat pengumuman bantuan berasaskan tanggungjawab kepada rakyat, bukannya didorong kepentingan politik.
“Orang yang stabil pemikirannya dia akan pastikan yang dia lakukan, yang dia umumkan itu adalah sesuatu yang bertanggungjawab dan bukan hanya kehendak politik semata-mata tetapi untuk kepentingan rakyat.
“Kalau ianya semata-mata untuk kepentingan politik, rakyat sudah faham akan tabiat pemimpin yang seperti ini. Dia buat ini, mungkin kerana dia takut, tak fikir sama ada ini salah ataupun tidak,” katanya lagi.
Sumber: MalaysiaGazette




