Sip Cult Fest ’26 bantu industri kopi terus berkembang

Sip Cult Fest ’26 bantu industri kopi terus berkembang

ALOR SETAR– Penganjuran Sip Cult Fest ’26 oleh Aman Central di sini mampu membuka ruang lebih luas kepada perkembangan industri kopi selain menjadi platform mempertemukan penggiat kafe, usahawan tempatan dan pencinta kopi di wilayah utara.

Festival sulung yang bermula Khamis sehingga Ahad ini mengetengahkan budaya kafe menerusi perkongsian ilmu, bengkel, demonstrasi serta sesi interaksi bersama penggiat industri dalam usaha memperkukuh jaringan dan kerjasama dalam ekosistem kopi tempatan.

Penolong Pengurus Besar Pemasaran dan Komunikasi Aman Central, Ken Chin berkata, penganjuran festival itu mencerminkan aspirasi pihaknya untuk menjadikan pusat beli-belah berkenaan bukan sekadar destinasi membeli-belah, tetapi ruang yang menyatukan komuniti serta menyokong perkembangan perniagaan tempatan.

Menurutnya, festival berkenaan tercetus daripada kepercayaan bahawa budaya kopi mampu menjadi medium yang menghubungkan masyarakat selain meraikan kisah di sebalik setiap individu yang terlibat dalam industri berkenaan.

“Setiap cawan mampu menyatukan masyarakat dan setiap individu di sebalik cawan itu mempunyai cerita yang wajar diraikan.

“Kami mahu membina platform yang membolehkan pemilik kafe, barista, usahawan dan pencinta kopi berkongsi pengetahuan, memberi inspirasi serta meraikan perkembangan budaya kafe di wilayah utara,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran rasmi Sip Cult Fest ’26 di Aman Central di sini pada Khamis.

Majlis itu disempurnakan Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya.

Ken (tiga kiri) dan Abdul Gafar (empat kiri) semasa melawat gerai penggiat kafe yang menyertai Sip Cult Fest '26 di Aman Central di Alor Setar pada Khamis.

Ken (tiga kiri) dan Abdul Gafar (empat kiri) semasa melawat gerai penggiat kafe yang menyertai Sip Cult Fest ’26 di Aman Central di Alor Setar pada Khamis.

Ken berkata, pihaknya berharap festival tersebut dapat berkembang sebagai acara tahunan yang mampu memupuk keusahawanan, mengukuhkan kerjasama industri serta menjadikan Alor Setar sebagai destinasi pengalaman gaya hidup.

Katanya, Aman Central berusaha menyokong bakat tempatan, menggalakkan inovasi dan membina komuniti kafe yang lebih kukuh di wilayah utara.

Sementara itu, Abdul Gafar berkata, inisiatif berkenaan mampu memberi sumbangan positif kepada ekonomi setempat menerusi sokongan terhadap usahawan tempatan dan penggiat industri kreatif.

Beliau berkata, acara seperti Sip Cult Fest bukan sahaja memberi peluang kepada usahawan mengetengahkan produk serta perkhidmatan, malah membantu memperkukuh imej Alor Setar sebagai bandar yang meraikan kreativiti, pelancongan dan penglibatan komuniti.

Festival berkenaan mendapat sokongan penggiat industri termasuk Ghostbird Coffee, JWC Roastery, The Coffee Factory, Hurry Hari, The Beans Coffee Cafe, Auntea Jenny, Matchamelier, The Place Steak Houze, Lorong Pekan dan CMC Venture Enterprise.

Selain itu, Sip Cult Fest ’26 turut dianjurkan dengan kerjasama OATSIDE, NOBO dan Lorong Pekan serta sokongan CMC Venture Enterprise, 38PC, Boom Print dan RLK Marketing.

Sepanjang festival berlangsung, pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti termasuk bengkel dikendalikan pakar industri, sesi penghargaan kopi dan matcha, perkongsian pengasas serta perbincangan komuniti berkaitan perkembangan budaya kafe.

Scroll to Top