Kerajaan akan lancar operasi pematuhan khas banteras produk elektrik tidak selamat

Kerajaan akan lancar operasi pematuhan khas banteras produk elektrik tidak selamat

Putrajaya: Kerajaan akan melaksanakan Operasi Pematuhan Khas secara bersepadu bagi membanteras kemasukan dan penjualan produk elektrik yang tidak memenuhi piawaian keselamatan, termasuk yang dijual melalui platform e-dagang dan premis fizikal.

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata operasi itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Suruhanjaya Tenaga (ST), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia serta SIRIM.

“Kami dapati banyak produk yang telah memasuki negara kita sebenarnya tanpa label SIRIM atau tidak mendapat pengakuan SIRIM, selain tidak mematuhi piawaian tempatan.

“Kalau produk elektrik tidak mematuhi piawaian SIRIM, ada kemungkinan akan mengakibatkan kebakaran dan ini adalah apa yang kami risau kerana statistik menunjukkan sebahagian besar kebakaran berpunca daripada produk yang tidak mematuhi piawaian elektrik,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan Sesi Libat Urus bersama Persekutuan Persatuan Peniaga Barangan Elektrik Malaysia (FOMEDA) bagi membincangkan isu kemasukan produk elektrik yang tidak memenuhi piawaian keselamatan, operasi perniagaan tanpa lesen serta amalan perdagangan yang melanggar undang-undang.

Liew berkata operasi pematuhan khas itu akan memfokuskan kepada lima aspek, iaitu memperkukuh penguatkuasaan di pintu masuk utama negara, termasuk pelabuhan dan lapangan terbang serta melaksanakan pemeriksaan bersepadu dan operasi penguatkuasaan terhadap premis yang menjual produk elektrik yang disyaki tidak mematuhi piawaian keselamatan.

Operasi juga akan memfokuskan kepada menjalankan pensampelan dan ujian ke atas produk elektrik di pasaran bagi memastikan pematuhan kepada piawaian keselamatan Malaysia.

Selain itu, mempertingkatkan pemantauan terhadap amalan pengisytiharan import bagi membanteras cubaan mengelakkan pemeriksaan melalui pengisytiharan palsu, tidak tepat atau mengelirukan serta memperkukuh kerjasama dengan platform e-dagang bagi memastikan semua penjual mematuhi undang-undang dan piawaian keselamatan Malaysia.

Beliau berkata operasi pematuhan khas itu akan memfokuskan kepada 34 kategori peralatan elektrik terkawal yang dikawal selia di bawah Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.

Antaranya ialah cerek, peti sejuk, pembakar roti, lampu mudah alih, mesin basuh, kipas, pengecas, wayar, mesin dapur, pembersih vakum dan alat urut.

Liew berkata berdasarkan semakan pihak industri, ST dan SIRIM, didapati masih terdapat produk elektrik yang tidak mematuhi piawaian keselamatan dijual secara meluas melalui platform e-dagang dan premis fizikal.

“Semakan pasaran secara rambang mendapati lebih separuh daripada produk pengecas telefon yang ditawarkan tidak diperakui oleh ST dan SIRIM.

“Keadaan ini mendedahkan pengguna, khususnya kanak-kanak dan remaja kepada risiko kebakaran, renjatan elektrik dan kecederaan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan komited memperkukuh penguatkuasaan bagi melindungi keselamatan pengguna, menjamin persaingan yang adil dan memastikan pematuhan terhadap undang-undang.

“Operasi ini bertujuan memastikan hanya produk elektrik yang selamat dan diperakui berada di pasaran Malaysia, meningkatkan tahap pematuhan dalam kalangan pengimport dan peniaga, melindungi keselamatan pengguna serta mewujudkan persaingan yang adil kepada perniagaan yang mematuhi undang-undang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top