Petisyen ulang final Piala Dunia cecah lebih 80,000 tandatangan

Petisyen ulang final Piala Dunia cecah lebih 80,000 tandatangan

Buenos Aires: Lebih 80,000 penyokong menandatangani petisyen dalam talian yang menggesa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengadakan semula final Piala Dunia 2026 selepas Argentina tewas 0-1 kepada Sepanyol di Stadium MetLife, New Jersey, Ahad lalu.

Petisyen yang dimulakan penyokong Argentina, Gisela Sánchez di platform Change.org mendakwa pengadil dari Slovenia, Slavko Vincic mempamerkan pengadilan yang “kontroversi dan berat sebelah” sepanjang perlawanan.

Bagaimanapun, dakwaan itu tidak disertakan dengan bukti yang disahkan, sebaliknya hanya merujuk kepada beberapa rakaman video yang tular di media sosial dan didakwa memihak kepada Sepanyol.

Setakat ini, petisyen berkenaan sudah mengumpul lebih 80,700 tandatangan, namun ia tidak mempunyai sebarang kesan dari sudut undang-undang atau sukan terhadap keputusan perlawanan mahupun status Sepanyol sebagai juara dunia.

Mengikut peraturan FIFA, sesuatu perlawanan hanya boleh dimainkan semula dalam keadaan luar biasa seperti berlaku pelanggaran serius terhadap peraturan pertandingan atau keputusan rasmi badan induk itu sebelum keputusan perlawanan disahkan.

Sebelum ini, situasi hampir sama berlaku selepas final Piala Dunia 2022 apabila lebih 200,000 penyokong Perancis menandatangani petisyen menggesa perlawanan menentang Argentina dimainkan semula susulan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan.

Sementara itu, FIFA membuka siasatan disiplin, namun bukan terhadap prestasi pengadil sebaliknya membabitkan beberapa insiden yang berlaku selepas wisel penamat.

Antara yang disiasat ialah tindakan pemain tengah Argentina, Leandro Paredes yang didakwa mencekik Eric Garcia dan menolak Gavi ketika sambutan kemenangan Sepanyol sehingga menyebabkannya dilayangkan kad merah selepas tamat perlawanan.

FIFA turut menyiasat dakwaan Nahuel Molina memukul Rodri serta kemungkinan pembantu jurulatih Argentina, Roberto Ayala menolak Dani Olmo dalam insiden berasingan.

Selain itu, badan induk bola sepak dunia itu juga meneliti tindakan beberapa pemain Argentina yang membelakangi majlis penyampaian trofi ketika Sepanyol menjulang kejuaraan serta insiden mempamerkan sepanduk berkaitan Kepulauan Falkland pada aksi separuh akhir menentang England yang sebelum ini sudah menyebabkan Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) didenda.

Ketua jurulatih Argentina, Lionel Scaloni sebelum ini menggesa semua pihak menerima kekalahan dengan hati terbuka.

“Kami bersikap terhormat ketika menang dan kami juga perlu bersikap demikian apabila tewas,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top