PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa peruntukan pembangunan kepada rakyat di kawasan Petaling Jaya akan diteruskan meskipun disalurkan tanpa melalui ahli Parlimennya.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak pernah memotong peruntukan sebaliknya memastikan dana disalurkan terus kepada projek yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Kita tidak potong peruntukan kepada rakyat untuk masjid, kuil, sekolah parit dan sebagainya semuanya ‘on’.
“Yang kita tidak bagi ialah melalui ahli Parlimen. Wang itu kita salurkan terus kepada rakyat dan projek yang diperlukan,” katanya ketika berucap pada program Generasi Muda Suara Baharu ‘Bersama Anak Muda Untuk Semua’ di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil dan Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Anwar berkata, peruntukan sebanyak RM44.5 juta telah diluluskan dan dilaksanakan termasuk 30 skop kerja mitigasi banjir sekitar kawasan Parlimen itu dan Damansara.
Tambah beliau, masih terdapat baki peruntukan sebanyak RM1.6 juta bagi Parlimen Subang dan RM3 juta bagi Parlimen Petaling Jaya yang akan dimanfaatkan untuk pelbagai keperluan rakyat.
“Saya hendak beritahu bukan sahaja dua Ahli Parlimen ini tetapi Taman Medan, Bukit Gasing dan Seri Setia, semua akan menerima projek yang telah diluluskan dalam peruntukan tahun lalu.
“Saya akan pastikan sekolah-sekolah, untuk rumah ibadat, sistem perparitan, hospital dan apa yang diperlukan kita proses serta salurkan secara betul,” ujarnya lagi.
Anwar berkata, tiada asas untuk mana-mana pihak mendakwa kerajaan tidak mempunyai peruntukan kerana dana berkenaan sememangnya tersedia.
“Wang itu ada. Kita bukan simpan cuma tidak diberikan kepada anda (Ahli Parlimen), kita beri kepada rakyat.
“Yang penting wang itu bukan kita simpan,” tegasnya.



