am@hmetro.com.my
Seremban: Barisan Nasional (BN) menggariskan 88 usaha berpandukan sembilan teras utama menerusi manifesto yang dibentang malam ini, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Manifesto itu turut ditambah dengan 15 Inisiatif Skim Salam Sejahtera, selain penubuhan satu Unit Penyelarasan Pemantauan Pelaksanaan Manifesto jika BN diberi mandat pada PRN yang dijadual 1 Ogos ini.
Dengan tema ‘Hebatkan Semula Negeri Sembilan: Kestabilan Dibina, Negeri Dijaga, Rakyat Dibela, Kemakmuran Dicipta’, manifesto itu dilancarkan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan di sini, malam ini.
Sembilan teras berkenaan meliputi Ekonomi dan Pembangunan; Taraf Hidup, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat; Pendidikan, Modal Insan, Belia, Wanita dan Keusahawanan serta Pertanian, Agromakanan, Pembangunan Desa dan FELDA.
Selain itu, Kediaman dan Perumahan; Alam Sekitar dan Pelancongan; Agama, Adat Budaya, Warisan dan Masyarakat Orang Asli; Sukan, Rekreasi dan Perpaduan serta Penyampaian Perkhidmatan.
Di bawah teras Ekonomi dan Pembangunan, BN antara lain meletak sasaran menarik pelaburan berjumlah RM30 bilion dalam tempoh lima tahun dan mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan.
Di bawah teras Taraf Hidup, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat, sebanyak 69 Kampung Orang Asli akan ‘dicahayakan’ dan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di 59 Kampung Baru.
Melalui teras Kediaman dan Perumahan, sebanyak 25,000 unit rumah dan 1,000 lot tapak perumahan kampung akan disediakan, selain jaminan tiada kenaikan cukai pintu dalam tempoh lima tahun.
Selain itu, teras Alam Sekitar dan Pelancongan mensasarkan 22 juta pelancong tahunan domestik dan antarabangsa ke Negeri Sembilan, 5,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor pelancongan dan 155,000 hektar hutan simpan dikekalkan.
Pada masa sama, Taman Rekreasi Bukit Putus, Taman Cabaran Lasak Bukit Putus dan Pusat Rekreasi Bersepadu Nogoghi akan dibangunkan di bawah teras Sukan, Rekreasi dan Perpaduan.
Sementara itu, di bawah Skim Salam Sejahtera, melalui inisiatif Salam Tahniah, bayi dan kanak-kanak akan menerima caruman Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) berjumlah RM200, selain bantuan tunai RM200 bagi kelahiran baharu anak-anak Negeri Sembilan.
Pelajar sekolah akan menerima bantuan kemasukan ke asrama penuh berjumlah RM500, manakala golongan siswazah akan menerima bantuan antara RM300 ke RM1,500.
Melalui inisiatif Salam Sayang, warga emas berusia 65 tahun ke atas akan menerima sumbangan RM200, manakala RM300 bagi berusia 75 tahun ke atas.
© New Straits Times Press (M) Bhd




