dayana@mediaprima.com.my
Gelombang kemarahan yang melanda ruang media sosial susulan pendedahan mengenai kewujudan Network School di Forest City bukan sesuatu yang mengejutkan.
Bagi sebuah negara yang memegang teguh prinsip kemanusiaan dan solidariti terhadap rakyat Palestin, kelibat pembangun teknologi yang dikaitkan dengan Israel di tanah air sendiri ibarat mencabar kedaulatan serta sensitiviti nasional.
Namun, di sebalik tuduhan melulu terhadap pihak berkuasa tempatan, wujud satu jurang pemahaman yang amat ketara dalam kalangan masyarakat.
Kebanyakan pengguna media sosial masih melihat dunia diplomasi dan kawalan sempadan melalui kanta yang terlalu kecil.
Mereka membayangkan bahawa status warganegara seseorang itu terpampang jelas pada dahi atau pasport rasmi semata-mata. Hakikatnya, realiti geopolitik moden jauh lebih kompleks dan licik.
‘Kebebasan’ bergerak ke negara lain yang dinikmati oleh warga Israel hari ini bersandar kuat pada instrumen dwikewarganegaraan.
Kelemahan persepsi awam dalam memahami selok-belok undang-undang kewarganegaraan antarabangsa ini yang kerap dimanfaatkan oleh pihak luar untuk melepasi saringan sempadan secara sah dari sudut undang-undang tertulis.
Orang awam cepat menuding jari kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), tanpa menyedari keterbatasan sistem pengesahan global apabila berdepan dengan dokumen perjalanan sah dari negara ketiga.
Seseorang individu yang dilahirkan di Tel Aviv, tetapi memegang pasport Amerika Syarikat, Perancis atau negara Caribbean seperti Saint Kitts dan Nevis berhak bergerak ke mana-mana atas kapasiti negara pengeluar pasport itu.
Kes vlogger kontroversial, Nas Daily atau Nusier Yassin pada 2022 menjadi bukti paling nyata betapa rapuh sekatan perjalanan berasaskan kewarganegaraan tunggal.
Dia melepasi pintu masuk negara secara terang-terangan bukan kerana imigresen Malaysia lalai, tetapi kerana dia mengemukakan pasport Saint Kitts dan Nevis, sebuah negara kepulauan yang menjual kewarganegaraan melalui program pelaburan.
Sistem imigresen mana-mana negara di dunia bertindak berdasarkan dokumen fizikal dan data biometrik yang dikemukakan pada saat pemeriksaan.
Apabila seseorang warga Israel mengemukakan pasport Amerika Syarikat yang sah, pangkalan data antarabangsa mengenali individu itu sebagai warganegara AS.
Tiada cap ‘Israel’ yang tertera pada cip pasport berkenaan untuk dikesan secara automatik.
Berdasarkan laporan BERNAMA, mengikut kajian akademik oleh Yossi Harpaz, dianggarkan sekurang-kurangnya 344,000 warga Israel memegang kewarganegaraan negara Kesatuan Eropah (EU) berdasarkan data 2019.
Angka ini belum mengambil kira lebih 200,000 individu berstatus dwikewarganegaraan Israel-AS serta ratusan ribu lagi yang memegang pasport Rusia, UK, Argentina dan negara Amerika Latin.
Kerajaan Tel Aviv sendiri secara sengaja tidak menyimpan atau menerbitkan daftar lengkap rakyatnya yang memegang pasport asing.
Strategi berdiam diri ini memberi kelebihan geopolitik yang besar kepada warganya untuk menyusup masuk ke negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, termasuk Malaysia dan Indonesia.
Ini bermakna, adalah tidak mustahil seorang anggota IDF yang memiliki pasport asing boleh memasuki Asia Tenggara sebagai pelancong atau pembangun teknologi tanpa sebarang halangan teknikal.
Untuk mengesahkan status dwikewarganegaraan seseorang individu awam secara mengejut adalah tugasan logistik dan diplomatik yang hampir mustahil tanpa kerjasama negara pengeluar pasport.
Maka, kita tidak seharusnya melepaskan kemarahan ke atas agensi penguatkuasaan kita kerana yang perlu dikecam adalah rejim yang mengeksploitasi sistem kewarganegaraan antarabangsa untuk membolehkan warganya merentasi sempadan dunia tanpa perlu bertanggungjawab terhadap tindakan geopolitik negara asal mereka.
Tindakan menghentikan operasi Network School di Forest City mendorong lapan kongres AS menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu mengusir segera rakyat Israel yang dikaitkan dengan Network School.
Mereka cuba mengenakan tekanan diplomatik dan mengugut mengenakan sekatan ekonomi.
Malaysia sentiasa mengalu-alukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan pemindahan teknologi tinggi, namun ia tidak seharusnya ditukar ganti dengan kedaulatan negara.
Ahli Kongres AS yang mengecam Malaysia seharusnya mencermin diri mereka terlebih dahulu. Mereka menutup mata terhadap tindakan individu yang menyalahgunakan pasport AS untuk melindungi warga negara tidak diiktiraf dan terbabit dalam jenayah perang, tetapi tergesa-gesa menuding jari apabila Malaysia mempertahankan dasar kawalan sempadannya.
Pendirian Malaysia amat jelas. Malaysia akan kekal menjadi destinasi pelaburan yang selamat dan dinamik, tetapi prinsip kedaulatan, dasar luar negara dan penghormatan terhadap undang-undang tidak boleh dibeli dengan dolar atau ancaman sekatan.
Malaysia juga tidak akan memohon maaf kerana mempertahankan kedaulatannya dan Malaysia tidak akan sesekali berundur dalam menegakkan prinsip keadilan.
Penulis Pengarang Berita Harian Metro
© New Straits Times Press (M) Bhd




